Jumaat, 31 Mei 2019 | 6:17pm
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (lima kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman (empat kiri) dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA),Datuk Seri Jebasingam Issace John (enam kiri) bersama wakil lima syarikat pelancongan, perkhidmatan perniagaan global (GBS) selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MOU) antara NCIA, kerajaan negeri dan lima syarikat GBS. - Foto ihsan Pejabat MB
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (lima kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman (empat kiri) dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA),Datuk Seri Jebasingam Issace John (enam kiri) bersama wakil lima syarikat pelancongan, perkhidmatan perniagaan global (GBS) selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MOU) antara NCIA, kerajaan negeri dan lima syarikat GBS. - Foto ihsan Pejabat MB

Lima syarikat GBS labur RM486 juta, cipta 1,500 peluang pekerjaan

IPOH: Lima syarikat peneraju Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) akan melebarkan operasi di sini membabitkan pelaburan RM486 juta yang bakal mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan.

Volgo Sdn Bhd, TecCSA Sdn Bhd, Revoluteq Sdn Bhd, Puncak Tegap Sdn Bhd dan DigitalQ Solutions Sdn Bhd adalah syarikat yang terbabit dalam bidang kewangan, sumber manusia, proses automasi robotik, perancangan sumber perniagaan dan teknologi maklumat termasuk Analitik Data Besar, pembangunan perisian dan `Cloud Computing’ yang berteraskan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata syarikat berkenaan akan ditempatkan di bangunan AEON Falim dan dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun ini.

Katanya, inisiatif [email protected] itu yang dipacu oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri, akan dihubungkan dengan ekosistem GBS yang sudah bertapak di Lembah Klang dan Pulau Pinang, dan bakal muncul pusat pertumbuhan pelaburan baharu GBS dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Kerjasama ini akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk graduan tempatan serta mampu menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan graduan di Perak. Perangkaan menunjukkan 22.7 peratus daripada 20,341 graduan di Perak masih menganggur,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara NCIA, kerajaan negeri dan lima syarikat GBS berkenaan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Zainal Azman Abu Seman serta Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Ahmad Faizal berkata, syarikat terbabit memilih bandar raya ini kerana kos operasi lebih murah berbanding fokus perniagaan mereka sebelum ini di Lembah Klang dan Pulau Pinang, yang membabitkan kos pelaburan dan operasi lebih tinggi.

“Saya yakin usaha NCIA untuk membawa pelaburan ke negeri ini lebih mudah kerana pelabur semakin yakin dengan kestabilan politik dan kepimpinan kerajaan negeri. Inilah perkara yang saya selalu sebut, inilah masanya NCIA, swasta, ahli politik, semua rakyat untuk mengenepikan perbezaan politik,” katanya.

Berita Harian X