Sabtu, 1 Jun 2019 | 3:07pm
NAIB Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye. - NSTP/Owee Ah Chun

Tingkatkan keselamatan pemandu, pengguna e-hailing

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan supaya pengendali perkhidmatan e-hailing memperkenalkan langkah yang ketat bagi melindungi keselamatan pemandu dan penumpang.

Antaranya, memastikan semua penumpang mendaftar dengan menggunakan kad pengenalan mereka untuk melindungi keselamatan pemandu.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata cadangan itu wajar berikutan kebimbangan ramai pihak mengenai kes jenayah seperti samun dan bunuh membabitkan pemandu kenderaan perkhidmatan e-hailing sejak kebelakangan ini.

“MCPF amat bimbang tentang isu keselamatan pemandu Grab. Oleh demikian, pengendali e-hailing harus memastikan semua penumpang mendaftar dengan menggunakan kad pengenalan mereka untuk melindungi keselamatan pemandu.

“Setakat ini, hanya pemandu Grab yang perlu memberikan butiran mereka dalam aplikasi tetapi tidak terpakai kepada penumpang yang membayar secara tunai, manakala penumpang yang membayar menggunakan kad debit melalui GrabPay dikehendaki memberikan butiran mereka.

“Pengendali perkhidmatan mesti memastikan butiran penumpang seperti nama penuh, nombor identiti dan alamat boleh didapati di dalam sistem untuk pemantauan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata pengendali perkhidmatan itu juga perlu memasang peranti kamera litar tertutup (CCTV) di setiap kereta yang disambungkan dalam talian dan disiarkan terus ke ibu pejabat kerana ia mampu memberi kesan kepada penumpang yang mahu melakukan aktiviti jenayah.

“Pemasangan peranti ini dilihat tidak menjadi masalah kerana perkhidmatan e-hailing juga berfungsi dalam talian. Ia akan menghalang mana-mana penumpang bertindak sebarangan kerana mereka tahu tindakan mereka sedang dirakamkan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pihak Grab menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan MCPF ke arah mengambil langkah berkesan dalam mencegah jenayah di platform syarikat itu dengan mempromosi kesedaran pencegahan jenayah kepada semua pemandu dan penumpang.

Sebelum ini, beberapa kes membabitkan pemandu e-hailing mengejutkan ramai pihak antaranya Mohd Hanafiee Jaafar yang dilaporkan dibunuh sebelum mayat mangsa dibuang di kawasan semak dekat pantai Kampung Shahbandar, Tuaran Sabah.

Seorang pemandu Grab di Kuching, Sarawak pula cedera di kepala akibat diketuk dengan pemukul dan dadanya ditembak dengan senjata menggunakan peluru guli, kelmarin.

Berita Harian X