Sabtu, 1 Jun 2019 | 6:54pm
KETUA Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad. - Foto Saddam Yusoff

Op Selamat: 49 kematian, 70,948 saman dalam 3 hari

KUALA LUMPUR: Sejumlah 49 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh tiga hari Op Selamat ke-15 yang dilancarkan Rabu lalu sempena Aidilfitri ini.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad, berkata sebanyak 5,310 kemalangan membabitkan 7,574 kenderaan dilaporkan di seluruh negara sepanjang tempoh itu.

“Selangor merekodkan jumlah kemalangan paling tinggi dengan 1,643 kes, diikuti Johor (810) dan Kuala Lumpur (784),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 928 operasi dijalankan di seluruh negara dengan 70,948 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Bagi kes pecah rumah dan premis pula, 114 kes direkodkan dalam tempoh tiga hari Op Selamat di seluruh negara,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata polis memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama dalam Op Selamat 15/2019 bermula Rabu lalu hingga 12 Jun ini.

Enam kesalahan itu ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. – BERNAMA

Berita Harian X