Sabtu, 1 Jun 2019 | 9:04pm
JAMBATAN angkat atau ‘drawbridge’ di Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori

Patuhi arahan trafik di jambatan angkat - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerja pemasangan papan tanda dan pelbagai kerja akhir lain yang berkaitan sudah dilaksanakan bagi memastikan kelancaran aliran trafik apabila jambatan angkat atau ‘drawbridge’ dibuka mulai pagi esok.

Sempena pembukaan untuk tempoh percubaan bermula jam 7 pagi esok hingga 17 Jun ini, laluan di jambatan berkenaan dijangka sesak berikutan orang ramai mungkin tidak mahu melepaskan peluang menggunakan jambatan angkat itu, yang pertama di Asia Tenggara.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta supaya pengguna dapat mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan kejadian yang tidak diingini.

Ahmad Samsuri berkata, pembukaan jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut dan terpanjang di dunia menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus (utara Seberang Takir) itu adalah untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya dan koordinasi sistem penyuraian trafik.

“Jambatan ini akan dibuka untuk tempoh percubaan pada jam 7 pagi esok dan ditutup semula kepada orang awam mulai 18 Jun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, jumlah kenderaan yang banyak di jalan raya sempena perayaan Aidilfitri adalah waktu yang tepat untuk menjalankan ujian kerana ia adalah waktu puncak yang akan memberi gambaran sebenar penyuraian trafik apabila projek ini siap sepenuhnya.

Katanya, tempoh percubaan itu sekali gus memberi keselesaan kepada orang ramai menyambut Aidilfitri, Rabu ini.

Ahmad Samsuri berkata, semua jenis kenderaan beroda dibenarkan menggunakan jambatan berkenaan, namun tidak dibenarkan berhenti di atas jambatan kerana ia boleh mengganggu kelancaran trafik.

“Orang ramai juga tidak dibenarkan bersiar-siar atau berjalan di atas jambatan kerana secara teknikal, jambatan ini masih dianggap sebagai kawasan pembinaan.

“Polis Diraja Malaysia dan syarikat operator pengurusan jambatan ini akan memastikan aliran trafik berjalan lancar dan keselamatan pemandu sentiasa terjaga di dalam tempoh pengujian ini,” katanya.

Katanya, selepas tamat pengujian sistem pada 17 Jun, jambatan berkenaan akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain dan tarikh pembukaan rasmi jambatan angkat itu akan dimaklumkan semula setelah semua kerja dan pentauliahan semua komponen projek selesai.

Berita Harian X