X
Sabtu, 1 Jun 2019 | 10:30pm
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Iftar dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung MPKK negeri Terengganu di Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, Dungun, hari ini. - Foto Rosli Ilham
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Iftar dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung MPKK negeri Terengganu di Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, Dungun, hari ini. - Foto Rosli Ilham

Sistem IBS bantu kerajaan bina lebih banyak rumah

DUNGUN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar dapat menambahkan 300 buah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan penggunaan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) yang menjimatkan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, penjimatan itu membolehkan kementerian membina 1,834 buah rumah berbanding sasaran sebelum ini sebanyak 1,354 rumah baharu.

Beliau berkata, pembinaan secara IBS itu mampu menjimatkan sehingga 18 peratus peruntukan yang disasarkan tanpa menjejaskan kualiti dan saiz rumah terbabit.

“Kita menolak tanggapan dan desas-desus yang mengatakan kerajaan akan menghentikan pembinaan rumah PPRT ini.

“Itu tidak benar dan untuk tahun ini kita menerima peruntukan sebanyak RM200 juta bagi membina rumah terbabit,” katanya pada Majlis Iftar dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung MPKK negeri Terengganu di Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Zulkifli Mohamad.

Mengulas lanjut, Rina berkata, kementerian juga membaik pulih hampir 10,000 buah rumah di bawah program itu yang dijangka akan siap sepenuhnya akhir tahun ini.

“Tahun lalu, sebanyak 10,841 rumah PPRT dibina atau dibaik pulih sekali gus melebihi sasaran ditetapkan iaitu 10,550 unit.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 817 rumah adalah bina baharu manakala 10,024 pula adalah kediaman yang dibaik pulih,” katanya.

Dalam pada itu, Rina berkata, Lembaga Kemajuan Wilayah turut menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada golongan belia di kawasan luar bandar.

“Bagaimanapun, pihak kami menerima banyak rungutan daripada pemohon mengenai pinjaman mereka tidak diluluskan dan syarat ketat yang dikenakan institusi pinjaman.

“Saya berharap pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dapat memberi kelonggaran kepada golongan belia ini yang baru membina kehidupan bagi membolehkan mereka memiliki rumah,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Rina berkata, seramai 2,034 ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dilantik di seluruh Terengganu.

“Kita harap pelantikan MPKK ini dapat memainkan peranan dan memberi khidmat kepada komuniti setempat tanpa mengira agama, bangsa serta fahaman politik,” katanya.

Berita Harian X