Ahad, 2 Jun 2019 | 11:12am

Pengguna beratur panjang tunggu jambatan angkat mula dibuka

KUALA TERENGGANU: Orang ramai begitu teruja untuk melalui jambatan angkat atau ‘drawbridge’, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, apabila mercu tanda baharu Terengganu itu dibuka bagi tempoh percubaan mulai jam 7 pagi tadi.

Malah, tinjauan BH mendapati ada pengguna menunggu dari seawal jam 6 pagi untuk menjadi individu pertama melalui jambatan itu dan menjelang waktu pembukaannya, ratusan kenderaan sudah beratur panjang di sepanjang laluan berkenaan.

Peniaga, Wan Asyraf Wan Azman, 25, berkata beliau cukup teruja kerana mengukir sejarah tersendiri bersama tiga rakannya sebagai antara pengguna terawal melalui jambatan unik berkenaan.

“Selepas bersahur dan solat subuh, saya terus ke jambatan angkat ini. Tidak sangka pula dapat menjadi orang terawal melalui jambatan ini.

“Sebagai rakyat Terengganu, saya teruja menantikan pembukaan ini kerana ia satu-satunya jambatan angkat yang ada di Malaysia,” katanya.

Pekerja sektor pembinaan, Nor Azli Abd Mokti, berkata beliau sanggup datang untuk merasai pengalaman kali pertama menikmati suasana pagi di jambatan itu, namun dimaklumkan ia belum dibuka untuk pejalan kaki.


Pemandu Terawal, Wan Amir Asyraf Wan azman, 25 (kanan) dari Kampung Kubang Jela, Manir yang menunggu sejak 6.00am pagi untuk menjadi pemandu awal melalui Jambatan Angkat (Drawbridge) ketika oia mula dibuka kepada semua kenderaan bermula hari ini hingga 17 Jun untuk percubaan sempena perayaan Aidilfitri. - Foto Ghazali Kori

Jambatan Angkat (Drawbridge) yang menghubungkan antara Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mula dibuka kepada semua kenderaan bermula hari ini hingga 17 Jun untuk percubaan sempena perayaan Aidilfitri. - Foto Ghazali Kori

“Saya bersama keluarga tiba di Kuala Terengganu, semalam, untuk menyambut Aidilfitri dan dimaklumkan bahawa jambatan angkat ini akan dibuka untuk tempoh percubaan bermula hari ini.

“Justeru, saya mahu mengambil kesempatan menikmati suasana pagi di jambatan ini tetapi diberitahu bahawa ia belum dibuka untuk pejalan kaki.

“Bagi saya, jambatan angkat ini adalah sesuatu yang baharu untuk rakyat Terengganu dan berharap ia akan menjadi daya tarikan bukan saja kepada penduduk tempatan tetapi juga pelancong asing,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pembukaan jambatan angkat berkenaan dapat menjimatkan masa dan memendekkan perjalanan dari pusat bandar ke Kuala Nerus serta lokasi sekitarnya seperti Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Malah, jambatan baharu ini dapat membantu menyuraikan kesesakan trafik di Jambatan Sultan Mahmud, terutama pada musim perayaan berikutan banyak kenderaan masuk ke pusat bandar,” katanya.


Jambatan Angkat (Drawbridge) yang menghubungkan antara Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mula dibuka kepada semua kenderaan bermula hari ini hingga 17 Jun untuk percubaan sempena perayaan Aidilfitri. - Foto Ghazali Kori

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A Rahman Yahya, berkata pembukaan jambatan angkat terbabit bertujuan membolehkan pengujian dan pentauliahan dilakukan sepanjang tempoh percubaan hingga 17 Jun depan.

“Tempoh percubaan ini adalah untuk kita mengenal pasti penambahbaikan yang akan dilakukan. Selepas tempoh percubaan, jambatan ini akan ditutup semula dan pembukaan rasminya akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh percubaan itu, anggota polis akan ditempatkan untuk mengawal lalu lintas.

“Kita menggalakkan orang ramai menggunakan jambatan ini, namun diingatkan supaya mereka tidak menghentikan kenderaan di atas jambatan untuk mengelakkan kesesakan,” katanya.

Orang ramai menggunakan Jambatan Angkat (Drawbridge) pada hari pembukaan hari ini yang akan dibuka kepada orang ramai sehingga 17 Jun untuk tempoh percubaan sempena perayaan Aidilfitri. - Foto Ghazali Kori
Berita Harian X