Ahad, 2 Jun 2019 | 12:05pm
Ainul Mardhiah ditemani ibunya Nurul Erwani Zaidi, 24, yang kini dirawat di sebuah hospital kanak-kanak di London. - Foto ihsan FB

Kesihatan Ainul Mardhiah terus meningkat

KUALA LUMPUR: Kesihatan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, bayi perempuan penghidap kanser mulut Germ Cell Tumor yang kini dirawat di sebuah hospital kanak-kanak di London, semakin meningkat.

Berita baik itu dikongsi bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, menerusi laman Facebook, hari ini.

“Assalamualaikum dan hai semua! Doktor kata, Ainul semakin baik hari demi hari. Alhamdulillah. Sekarang ni Dr nak bagi Ainul rehat dulu untuk persiapan rawatan seterusnya.

“Doakan supaya Ainul berjaya lepasi ujian seterusnya ya! Insya-Allah, ramai yang mendoakan Ainul ketika ini. Ainul pasti berjaya dengan Izin-Nya,” katanya yang turut memaparkan gambar terkini bayi istimewa itu.

Beberapa pengguna Facebook turut memberikan kata semangat kepada Ainul Mardhiah dan status itu mendapat lebih 7,000 tanda ‘likes’ dan 483 perkongsian.

Warganet, Sue Yusoff memohon Allah memakbulkan doa rakyat Malaysia untuk kesembuhan Ainul Mardhiah.

“Kau berilah afiah pada Ainul ya Allah. Kau tabahkan hati keluarga Ainul ya Allah... Moga terus kuat Ainul,” katanya.

Zuraidah Ismail pula mendoakan semoga keajaiban berlaku kepada bayi istimewa berkenaan dan kedua ibu bapanya tabah menghadapi saat sukar.

“Buat anak kecil ini.. Allah sebaik baik penolong dan penyembuh. Semoga ibu ayah Ainul tabah menghadapi masa-masa yang sukar.. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,” katanya.

Ain Damiya pula mengharapkan berkat malam Lailatul Qadar bayi istimewa berkenaan akan sembuh.

“Acik doakan moga Ainul cepat sembuh dan cepat pulang ke Malaysia ya sayang. Ramai yang sayangkan Ainul,” katanya.

Berita Harian X