Ahad, 2 Jun 2019 | 5:45pm
Orang ramai di klia2 untuk pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Orang ramai tiba awal di klia2 untuk balik kampung

SEPANG: Orang ramai yang pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) hari ini mengambil inisiatif untuk tiba awal bagi mengelak kesesakan.

Rata-rata penumpang yang ditemui BH di sini datang awal untuk memudahkan urusan mereka termasuk mendaftar masuk bagasi.

Kakitangan awam, Mohd Zamharir Abdul Wahab, 39, berkata beliau mengambil keputusan untuk tiba lima jam lebih awal di klia2 walaupun penerbangannya ke kampung halaman di Miri, Sarawak hanya pada jam 9 malam ini.

“Saya memang merancang untuk datang awal kerana Aidilfitri sebelum ini kami pernah tertinggal pesawat disebabkan terpaksa beratur panjang untuk mendaftar masuk bagasi dan menyebabkan terpaksa membeli tiket baharu.

“Jadi bagi mengelakkan insiden itu berulang lagi, saya ambil keputusan tiba lebih awal. Jika awal, tiada masalah kerana di sini ada pelbagai kemudahan untuk digunakan,” katanya yang pulang bersama isteri, Murliza Ismail, 36, dan dua anak mereka Muhammad Adam, 5, dan Muhammad Noah, 7 bulan.

Dalam pada itu, perkara sama turut dilakukan kakitangan di Hospital Banting, Norshasarina Ahmad Bistamam, 38, yang turut datang empat jam lebih awal ke lapangan terbang bagi mengelak kesesakan.

Beliau yang akan pulang ke kampung halaman di Kota Bharu, Kelantan bersama anaknya, Muhammad Hasha Haikal Mohd Hasmajie, 12, tidak kisah untuk menunggu lama bagi penerbangan jam 7.40 malam ini.

“Saya pada mulanya merancang untuk balik menaiki bas tetapi tiket habis. Jadi inilah inisiatif seterusnya yang saya ada kerana suami memang sudah ada di Kota Bharu kerana beliau bertugas di sana.

“Tidak mengapa tunggu lama sikit. Boleh tengok suasana orang balik kampung. Bila tiba awal kita pun tidak tergesa-gesa dan keadaan akan menjadi lebih santai,” katanya.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, pihaknya dan pihak berkepentingan di lapangan terbang akan berusaha memastikan penumpang yang menggunakan lapangan terbang itu menikmati perjalanan yang selamat dan lancar ketika tempoh puncak mulai 26 Mei lalu sehingga 10 Jun ini.

Tempoh puncak itu adalah berikutan cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Gawai dan Kaamatan serta cuti sekolah.

Syarikat itu berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dijangka mencatat pergerakan 100,000 penumpang sehari di setiap terminalnya sepanjang tempoh itu iaitu peningkatan tiga peratus berbanding tahun lalu.

Selain itu, lebih 500 penerbangan dalam tempoh itu ditambah di KLIA dan klia2 untuk memenuhi peningkatan jumlah penumpang domestik dan antarabangsa.

Berita Harian X