Ahad, 2 Jun 2019 | 6:15pm

Awas jerat longkai

KUALA LUMPUR: Sikap gelabah dan cemas tercetus apabila kenderaan dipandu terbabit kemalangan atau kerosakan di jalan raya, membuatkan pemandu mudah menjadi mangsa penipuan trak penunda atau longkai, yang menjadikan situasi terbabit sebagai sumber rezeki mereka.

Sebagai cara mudah mendapatkan mangsa, ada dalam kalangan longkai mengupah pihak tertentu menyiram minyak di laluan sasaran mereka hingga menyebabkan kenderaan terbabas atau membuang komponen seperti ekzos bagi mencetuskan kerosakan kepada kenderaan yang melanggarnya.

Tindakan pemandu yang terburu-buru membiarkan kenderaan yang rosak atau terbabit kemalangan diuruskan longkai tanpa merujuk kepada syarikat insurans masing-masing, membuatkan mereka terdedah kepada caj melampau dikenakan bagi setiap khidmat tundaan.

Bengkel bersekongkol

Selain caj tundaan yang tinggi hingga mencecah RM1,500 bagi jarak yang dekat, pengguna juga terdedah kepada penipuan oleh bengkel kenderaan yang bersekongkol dengan longkai yang menghantar kenderaan rosak ke situ.

Anggota PLUSronda memberi bantuan kepada pengguna yang kemalangan di Lebuh Raya PLUS.

Difahamkan, longkai yang menjerat mangsa ini terdiri daripada pemandu trak yang bergerak secara bebas atau bekerja dengan bengkel persendirian. Mereka tidak berdaftar dengan mana-mana persatuan berkaitan atau syarikat insurans.

Dianggarkan ada ribuan longkai di seluruh negara dengan kebanyakan mereka menjalankan operasi di bawah kumpulan tertentu, menggunakan modus operandi berbeza termasuk melanggar peraturan yang ditetapkan persatuan berkaitan trak penunda.

Seorang pengendali trak tunda yang enggan namanya disiarkan, berkata longkai terbabit mengenakan caj tinggi kerana mendakwa perlu membayar beberapa individu yang membantu dan menjadi ‘mata-mata’ mereka seperti pemberi maklumat, penjaga lalu lintas dan tidak terkecuali pihak berkuasa, biasanya antara RM50 hingga RM150 seorang.

“Sasaran mudah longkai tidak bertanggungjawab ini adalah pemandu yang cepat cemas dan gelabah apabila terbabit nahas atau melihat kenderaan rosak. Dalam keadaan itu, mereka cepat setuju dan terus tandatangan surat beri kebenaran kepada longkai terbabit menguruskan kereta mereka tanpa sebarang nasihat atau penjelasan terperinci.

Caj tunda kereta melampau

“Pernah berlaku kemalangan di Rawang. Longkai itu letak harga RM1,500 untuk tunda kereta mangsa dari Rawang ke Batu Caves. Bila tanya kenapa (caj tinggi), tiada jawapan. Caj itu cuma tunda ke bengkel, tidak termasuk urusan tuntutan insurans, siapkan dokumen, laporan polis, tunda keluar dan hantar pelanggan pulang,” katanya kepada BH.

Lelaki berusia 50 tahun itu, berkata menerusi pergerakan secara berkumpulan itu, ada kelompok longkai yang mengenakan caj tambahan kepada pengendali trak tunda luar yang memasuki kawasan mereka untuk menunda kenderaan.

Difahamkan, di Selangor membabitkan kawasan Sijangkang, manakala di Perak, perbuatan itu berlaku di seluruh negeri terbabit, yang membabitkan bayaran dianggap ‘tol’ antara RM100 hingga RM150 bagi setiap kenderaan yang mahu ditunda.

Beliau berkata, setiap longkai menerima bayaran antara lima hingga 15 peratus daripada jumlah kos baik pulih kenderaan rosak daripada bengkel yang menerima kenderaan dihantar mereka selepas selesai proses tuntutan insurans atau bayaran diselesaikan oleh pemilik.

Pengguna diingatkan supaya waspada terhadap pengendali trak tunda.

Mengulas mengenai lokasi panas yang menjadi tumpuan longkai terutama menjelang sambutan Aidilfitri ini, sumber berkata, antara kawasan tumpuan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) membabitkan laluan di antara Terowong Menora hingga ke Changkat Jering di Perak.

Di Kuala Lumpur pula, ia membabitkan Lebuh Raya Sungai Besi, Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), Lebuh Raya Mahameru, Bukit Jalil, Midvalley, hadapan Istana Lama dan sekitar Terminal Bandar Selatan (TBS).

Sumber berkata, lokasi berkenaan menjadi tumpuan longkai kerana mempunyai selekoh tajam dengan aliran trafik yang tinggi, sekali gus berisiko tinggi berlaku kemalangan.

Beliau mengakui, ada longkai yang terlalu mengejar untung dengan cara mudah apabila sengaja meletak objek bahaya di atas jalan raya hanya kerana mahu menyebabkan kemalangan bagi memudahkan mereka mendapat mangsa.

“Perbuatan seumpama itu memberi imej buruk terhadap keseluruhan longkai. Bagi longkai yang bekerja secara bersih, kami umpama penunggu.

“Kami cuma tunggu kemalangan di kawasan panas. Kalau tak ada kemalangan di situ, kami terpaksa pula ke hulu ke hilir mencari kenderaan yang terbabit kemalangan,” katanya.

Dapatkan perkhidmatan trak tunda yang sah bagi melindungi kepentingan mangsa kemalangan.

Guna taktik licik, menyamar anggota PLUSRonda

Pengguna Lebuh Raya Utara Selatan diingatkan supaya waspada terhadap pengendali trak tunda atau longkai yang menyamar sebagai anggota PLUSRonda atau mendakwa dihantar oleh PLUS bagi menunda kenderaan rosak di lebuh raya itu.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Zakaria Ahmad Zabidi, berkata berdasarkan modus operandi yang digunakan, longkai terbabit dikesan melekatkan logo PLUS pada trak tunda yang dibawa dan mendakwa kononnya mereka wakil kepada PLUS.

Beliau berkata, longkai bertindak sedemikian kerana mahu mengambil kesempatan terhadap pemilik kenderaan yang rosak atau terbabit kemalangan sehingga tersadai di lebuh raya.

Pasukan PLUSRonda menaiki pacuan empat roda, Toyota Hilux berwarna putih dan berpakaian seragam sebagai anggota Polis Bantuan.

“Dahulu, aduan mengenai penipuan oleh longkai, caj harga tinggi memang banyak diterima oleh PLUS, tetapi sekarang kegiatan itu sudah berkurangan. Sejak awal tahun tahun lalu hingga April tahun ini, PLUS menerima 14 aduan, antaranya membabitkan pengguna tidak berpuas hati terhadap perkhidmatan trak tunda, kos dikenakan terlalu mahal dan tidak munasabah.

“Longkai ini ada yang lekatkan logo PLUS pada trak mereka untuk menarik kepercayaan orang bahawa mereka adalah anggota PLUS.

“Untuk mengenali pasti petugas PLUS, anggota kami lengkap beruniform. Pasukan PLUSRonda kami akan datang dengan menaiki pacuan empat roda, Toyota Hilux berwarna putih dan berpakaian seragam sebagai anggota Polis Bantuan. Jika pengguna masih sangsi, saya nasihatkan mereka hubungi PLUSLine menerusi talian 1-800-88-0000 untuk pengesahan,” katanya kepada BH.

Zakaria berkata, sekiranya dihampiri mana-mana pengendali trak tunda ketika kenderaan rosak di lebuh raya, pemilik kenderaan dinasihati memberitahu bahawa mereka sudah menghubungi talian PLUS dan sedang menunggu ketibaan PLUSRonda.

Dalam usaha memastikan kelancaran operasi di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan ketika musim perayaan sambutan Aidilfitri tahun ini, Zakaria berkata, PLUS turut melantik pengendali trak tunda daripada persatuan trak tunda sebagai panelnya.

Anggota PLUSRonda memberikan perkhidmatan secara profesional untuk keselesaan pengguna.

Beliau berkata, peranan trak tunda terbabit hanya merangkumi perkhidmatan menunda kenderaan ke plaza tol terdekat dan memindahkan kenderaan tersadai akibat rosak atau kemalangan ke tepi lebuh raya.

“Bagi kenderaan persendirian yang rosak di lebuh raya dan perlu ditunda, PLUS menyediakan perkhidmatan trak tunda secara percuma ke lokasi selamat yang terdekat dengan tempat kejadian seperti kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah atau plaza tol.

Hubungi panel insurans

“Bagi kenderaan berat dan bas pula, PLUS melantik panel pihak ketiga untuk menjalankan penundaan ke kawasan selamat yang terdekat dengan lokasi kejadian. Bagaimanapun, kos tunda akan dikenakan ke atas pengusaha atau pemilik kenderaan berat atau bas berkenaan,” katanya.

Zakaria berkata, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan menghubungi panel insurans kenderaan masing-masing bagi mengelakkan daripada ditipu mana-mana pengendali trak tunda.

Beliau berkata, sekiranya pengguna lebuh raya mahu menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh panel insurans, pasukan PLUSRonda akan menunda kenderaan mereka ke tempat yang selamat atau membuat pengurusan trafik bagi mengelak berlakunya kemalangan.

Berita Harian X