X
Ahad, 2 Jun 2019 | 6:54pm
Bazar Ramadan Jalan Raja di ibu negara terus menjadi tumpuan warga kota yang membeli-belah pada saat-saat akhir. - NSTP/Rohanis Shukri
Bazar Ramadan Jalan Raja di ibu negara terus menjadi tumpuan warga kota yang membeli-belah pada saat-saat akhir. - NSTP/Rohanis Shukri

Bazar Ramadan Jalan Raja lokasi pilihan menjelang Syawal

KUALA LUMPUR: Bazar Ramadan Jalan Raja di ibu negara terus menjadi tumpuan warga kota yang membeli-belah pada saat-saat akhir demi memenuhi kelengkapan raya.

Jika ada yang menyangka di bazar ini mula lenggang berikutan ramai yang sudah pulang ke kampung halaman, realitinya masih ramai juga belum balik ke negeri asal masing-masing bagi menyambut kedatangan 1 Syawal.

Sungguhpun terpaksa bersesak, pengunjung, Nadrah Fiana Ejos, 29, tetap bersemangat untuk datang membeli-belah kerana ia dikatakan pusat sehenti barangan raya.

Beliau yang bertugas sebagai jururawat, masih meneruskan tugas sehingga malam lebaran, justeru persiapan yang dilakukan adalah pada saat akhir.

“Sememangnya kunjungan ke sini agak mencabar kerana masalah tempat letak kereta dan trafik yang sesak, namun saya terpaksa kuatkan semangat diri untuk persiapan raya.

“Alhamdulillah baju raya untuk keluarga sudah dibeli dan kami tidak sabar untuk pulang kampung bagi menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi Emma Masfaki, 26, yang akan beraya di ibu kota, mengambil peluang hujung minggu untuk datang membeli-belah.

Emma dan suaminya mencari baju sebagai persiapan hari raya sebelum pulang ke kampung di Johor. - NSTP/Rohanis Shukri
Emma dan suaminya mencari baju sebagai persiapan hari raya sebelum pulang ke kampung di Johor. - NSTP/Rohanis Shukri

“Saya baru berkahwin dan ini tahun pertama perlu membuat persiapan raya untuk keluarga kecil.

“Destinasi tumpuan sudah tentu bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), yang dipindahkan ke Jalan Raja,” katanya.

Shahrom Yunus, 61, berkata dia mengambil peluang hujung minggu untuk menjalankan untuk membeli barangan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Shahrom dibantu isterinya Sharifah Faridah Syed Tahir mencuba baju Melayu di Bazar Ramadan Jalan Raja. - NSTP/Rohanis Shukri
Shahrom dibantu isterinya Sharifah Faridah Syed Tahir mencuba baju Melayu di Bazar Ramadan Jalan Raja. - NSTP/Rohanis Shukri

“Saya datang bersama keluarga kerana semuanya mahu cari baju dan biskut raya.

“Rasa seronok jalan beramai-ramai walaupun letih dalam keadaan berpuasa ini. Apa yang penting semangat kekeluargaan untuk membuat persiapan meraikan kedatangan 1 Syawal,” katanya.

Berita Harian X