Selasa, 4 Jun 2019 | 1:38pm

Diskaun 10 peratus di Jambatan Kedua Pulau Pinang sempena Aidilfitri

GEORGETOWN: Semua kenderaan Kelas Satu yang melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah akan menikmati diskaun tol 10 peratus mulai tengah malam ini sehingga 11.59 malam esok sempena Aidilfitri.

Jabatan Komunikasi Korporat Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dalam kenyataannya berkata, diskaun 10 peratus itu adalah sebagai penghargaan kepada pengguna, selain memudahkan urusan perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Ia bukan saja sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat tetapi juga sebagai cara bagi kami untuk melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada semua pengguna kami,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Ketika ini, kenderaan Kelas Satu membayar harga tol RM8.50, Kelas Dua RM30.50, Kelas Tiga RM70.10 manakala bagi teksi dan bas pula masing-masing RM8.50 dan RM26.20.

Jambatan Kedua Pulau Pinang yang memulakan operasi pada Mac 2014 menghubungkan Batu Kawan di tanah besar Seberang Perai dengan Batu Maung di Pulau Pinang.

Ia adalah jambatan kedua yang menghubungi Pulau Pinang dengan tanah besar selepas Jambatan Pulau Pinang.

Berita Harian X