Selasa, 4 Jun 2019 | 3:36pm
Akta berkaitan OKU yang sudah diwartakan perlu diperkasakan sewajarnya bagi membela nasib golongan berkenaan. - Foto hiasan

Perkasakan akta OKU

KUALA LUMPUR: Akta berkaitan orang kurang upaya (OKU) yang sudah diwartakan cukup sempurna namun ia perlu diperkasakan sewajarnya bagi membela nasib golongan berkenaan.

Presiden Persatuan Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia (KUAM), Suhairi Abdullah, berkata akta sedia ada yang diperuntukkan untuk golongan OKU tidak pernah dikuatkuasakan, sekali gus sebarang permasalahan yang dihadapi oleh golongan ini tidak dapat diselesaikan.

Katanya, permasalahan golongan itu boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya semua akta dikuatkuasakan dengan sebaiknya.

“Akta sedia ada itu seolah-olah ‘mekap’ atau perhiasan bagi menutupi masalah yang dihadapi OKU, malangnya ia tidak dikuatkuasakan.

“Sebagai contoh parkir yang disediakan bagi OKU digunakan oleh pengguna lain tetapi tidak diambil sebarang tindakan, sedangkan ada ketika ada pihak berkuasa yang menjaga kawasan itu.

“Justeru, saya mohon kepada kerajaan dan pihak berkaitan supaya melihat isu ini dengan lebih serius dan disertakan dengan tindakan,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Suhairi mengakui melihat banyak peningkatan terhadap infrastruktur OKU disediakan pada bangunan baharu yang memberi manfaat kepada golongan ini, walau bagaimanapun bagi bangunan lama, masalah masih di takuk lama.

“Kemudahan di bangunan lama dan kecil memang tiada untuk OKU. Misalnya, tandas dan parkir. Namun, infrastruktur di bangunan baru sangat baik dan dilengkapi pelbagai kemudahan lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Orang Cacat Malaysia, Mohamad Sazali Shaari, berkata sungguhpun infrastruktur untuk OKU sudah ada disediakan dalam peruntukan piawaian MS1184 ‘Universal Design’ dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) tetapi setengah pemaju gagal melaksanakannya.

Katanya, ada bangunan yang diluluskan walaupun tidak mengikut spesifikasi MS1184 sekali gus menunjukkan betapa penguatkuasaan undang-undang yang lemah.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan yang proaktif dalam menangani isu ini. Jangan lupa kerajaan sudah ada akta dan dasar untuk yang perlu dilaksanakan.

“Sepatutnya pihak kerajaan mengambil berat dengan permintaan mereka kerana ia adalah mengikut polisi sedia ada, namun perlu pisahkan OKU mengikut kategori kerana keperluan mereka adalah berbeza.

“Sekiranya ada isu berbangkit adalah wajar untuk menghimpunkan OKU ini bagi memberi pandangan dan cadangan secara bersama.

“Mereka akan bertanggungjawab memberikan usul dan dilaksanakan oleh kerajaan. Justeru tidak ada alasan kerajaan tidak mampu berbuat sesuatu kerana sudah ada pelaksanaannya iaitu tenaga kerja untuk penguatkuasaan dan kewangan yang boleh disalurkan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Kelmarin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, dilaporkan berkata kementeriannya akan menyemak semula tahap pematuhan terhadap penyediaan keperluan infrastruktur bagi OKU yang diwajibkan dalam pembinaan bangunan di negara ini.

Beliau berkata dasar mengenai penyediaan keperluan itu sudah sedia ada namun percaya pelaksanaannya masih belum meluas, justeru pihaknya memerlukan tempoh enam bulan untuk jawatankuasa yang akan ditubuhkan kelak bertindak memberi input kepada KPKT mengenai perkara itu.

"Kita akan melihat balik pelaksanaan dasar berkaitan infrastruktur untuk OKU ini sama ada ia dipatuhi 100 peratus atau 50 peratus. Saya kena periksa mengenainya kerana ketika ini, pelaksanaannya belum menyeluruh.

"Kemungkinan ketika ini keutamaan diberikan kepada bangunan atau kompleks yang besar, jadi bangunan yang kecil diberikan pengecualian. Sudah tiba masanya untuk kita pastikan ia dilaksanakan 100 peratus di semua peringkat," katanya.

Berita Harian X