Selasa, 4 Jun 2019 | 4:32pm
KHAIRUL Azmi dan isteri, Suzana Abu Bakar serta lima anak mereka berangkat ke Jepun untuk menyambut Aidilfitri bersama anak sulung mereka yang mengikuti program pertukaran pelajar di Universiti Kansai. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Teruja pertama kali beraya di Jepun

SEPANG: Sambutan Aidilfitri tahun ini membawa kelainan kepada seorang guru, Khairul Azmi Jait, 50, dan keluarga apabila buat pertama kali akan merayakannya di Osaka, Jepun.

Khairul Azmi dan isteri, Suzana Abu Bakar, 48, serta lima anak mereka berangkat ke negara matahari terbit itu hari ini untuk menyambut Aidilfitri bersama anak sulung mereka yang sedang mengikuti program pertukaran pelajar di Universiti Kansai.

Guru berkenaan berkata, mereka membawa pelbagai jenis makanan untuk beraya di negara itu bagi memastikan suasana Aidilfitri tetap dapat dirasai seperti di negara ini.

“Kalau diikutkan, dua bagasi yang dibawa dipenuhi makanan saja, ada ketupat dan rendang untuk dinikmati esok.

“Pada mulanya, memang seperti tidak percaya kerana ketika semua orang pulang ke Malaysia dan kampung masing-masing berhari raya, kami pula ke negara orang.

“Bagaimanapun, pada masa sama, kami teruja untuk merasai pengalaman itu buat kali pertama, selepas anak sulung kami mempelawa kami ke sana,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, hari ini.

Khairul Azmi berkata, beliau memilih untuk berangkat sehari sebelum Aidilfitri kerana tambang penerbangan yang lebih murah berbanding hari lain.

Sementara itu, tinjauan di klia2 mendapati pergerakan penumpang tidak begitu sibuk berbanding beberapa hari sebelum ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, pihaknya dan pihak berkepentingan di lapangan terbang akan berusaha memastikan penumpang yang menggunakan lapangan terbang menikmati perjalanan yang selamat dan lancar ketika tempoh puncak mulai 26 Mei lalu sehingga 10 Jun ini.

Tempoh puncak itu adalah berikutan cuti perayaan Aidilfitri, Pesta Gawai dan Kaamatan serta cuti sekolah.

Syarikat itu berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dijangka mencatat pergerakan 100,000 penumpang sehari di setiap terminalnya sepanjang tempoh itu iaitu peningkatan tiga peratus berbanding tahun lalu.

Selain itu, lebih 500 penerbangan dalam tempoh itu ditambah di KLIA dan klia2 untuk memenuhi peningkatan jumlah penumpang domestik dan antarabangsa.

Berita Harian X