Selasa, 4 Jun 2019 | 11:02pm
TITAH Perutusan Aidilfitri 2019 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tanam semangat perpaduan, hargai kemakmuran

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak rakyat menanam semangat perpaduan dan menghindar sebarang perkara yang menggugat kemakmuran negara.

Baginda bertitah, kedatangan Aidilfitri wajar disambut dengan penuh kegembiraan dan budaya meraikan hari kebesaran agama serta amalan kunjung-mengunjung yang boleh dijadikan jambatan perpaduan kepada rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah, Beta dan Raja Permaisuri Agong merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah kerana dengan limpah rahmat-Nya kita semua dapat menyambut Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.

“Pada hari yang penuh keberkatan ini, Beta ingin mengajak seluruh rakyat untuk menghargai keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini,” titah baginda dalam perutusan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, malam ini.

Baginda juga menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa bertugas pada hari raya khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua agensi kerajaan demi menjaga keamanan negara.

“Dalam kita bergembira, janganlah kita melupai pengorbanan dan jasa mereka yang telah meninggalkan sebuah negara bumi bertuah bernama Malaysia yang aman lagi makmur untuk diwarisi serta dinikmati oleh kita.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka yang telah terlebih dulu meninggalkan kita,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan rakyat supaya mengutamakan keselamatan terutama mereka yang memandu pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing.

“Mengakhiri titah, Beta dan Raja Permaisuri Agong ingin mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menzahirkan ucapan takziah di atas kemangkatan ayahanda Beta pada 22 Mei lalu.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan supaya rakyat Malaysia dan negara kita sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT dan terus kekal aman, makmur serta dijauhi dari sebarang musibah dan bencana,” titah baginda.

Berita Harian X