Rabu, 5 Jun 2019 | 3:55pm
Dr Mahathir berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Seri Perdana hari ini. - Foto BERNAMA

Latheefa tegas - Tun M

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau sendiri yang memilih Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perdana Menteri berkata, beliau memilih Latheefa kerana perwatakannya yang tegas, bercakap apa yang benar dan tidak menipu.

“Kita memerlukan seseorang yang berperwatakan tegas.

“Beliau akan jadi ketua dan dia akan selidik semua kes rasuah. Rasuah tentunya perkara utama dan perkara lain juga.

“Jika ada sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang, beliau akan menyiasat dan melaporkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal daripada yang sepatutnya pada 17 Mei 2020.

Ditanya sama ada beliau membuat keputusan itu sendiri atau berbincang dengan Jemaah Menteri, Dr Mahathir berkata, beliau tidak berbincang dengan Kabinet sebelum membuat keputusan itu.

“Kebiasaannya saya membuat keputusan sendiri kerana saya tidak perlu bertanya kepada Kabinet siapa yang saya luluskan.

“Saya tidak payah tanya Kabinet. Saya tanya orang lain yang berpengetahuan mengenai karakter orang. Kalau Kabinet buat keputusan, ia mengikat saya.

“Jadi, (cara) ini saya bebas untuk menilai sesiapa yang dicadang dan saya pilih,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada prosedur lantikan itu sama seperti sebelum ini, iaitu membuat pemilihan kemudian mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Dr Mahathir berkata, prosedurnya akan sentiasa berjalan seperti itu.

“Anda perlu mendengar pendapat semua orang dan membuat penilaian sendiri. Kemudian anda luluskan siapa yang anda mahu. Saya sudah melakukannya sejak lama dulu,” katanya.

Berhubung kritikan bahawa pelantikan itu bercanggah dengan Manifesto Pakatan Harapan (PH) mengenai lantikan politik dan menjejaskan fungsi SPRM sebagai badan yang bebas, Dr Mahathir berkata, tidak wujud konflik kepentingan kerana Latheefa sudah meletak jawatan dalam PKR.

“Kita tidak boleh menghukum ahli kita. Semasa kita cuba memenangi pilihan raya, orang-orang ini berkerja keras untuk memastikan kemenangan kita.

“Bagaimanapun, manifesto kita menyatakan orang yang bekerja dengan kita tidak boleh memegang sebarang jawatan. Itu tidak adil.

“Sudah tentu kita tidak melantik mereka sebagai ketua jabatan syarikat tapi dalam kes tertentu, jika mereka ada kualiti yang betul, kita akan melantik mereka walaupun yang berada dalam politik,” katanya.

Ditanya mengapa beliau tidak memilih seseorang yang mempunyai rekod memerangi rasuah atau dari dalam SPRM, Dr Mahathir berkata, beliau mengambil kira perwatakan seseorang untuk dilantik ke jawatan itu

“Ada yang sangat berterus-terang. Mereka tidak takut memberi pandangan dan tidak dipengaruhi orang lain.

“Selain itu, kadangkala kita memilih orang daripada luar (organisasi). Ia tidak semestinya untuk kita melantik orang nombor dua atau tiga. Kita mempunyai hak untuk memilih sesiapa yang kita rasakan layak,” katanya.

Berhubung peletakan jawatan Mohd Shukri, Dr Mahathir berkata, Mohd Shukri sudah meminta untuk berhenti sejak tahun lalu kerana sudah lama memegang jawatan itu.

Berita Harian X