Rabu, 5 Jun 2019 | 4:16pm
Kerajaan negeri sudah menerima beberapa cadangan nama rasmi untuk jambatan angkat atau ‘drawbridge’. - NSTP/Ghazali Kori

Nama rasmi jambatan angkat diumum bulan depan - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri sudah menerima beberapa cadangan nama rasmi untuk jambatan angkat atau ‘drawbridge’ dan sedang pada peringkat akhir memuktamadkan perkara itu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata nama dipilih untuk jambatan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara itu akan diumumkan pada majlis perasmian mercu tanda baharu Terengganu berkenaan dijangkakan bulan depan.

“Kita ada menerima cadangan nama rasmi untuk jambatan angkat itu, dan sedang memperhalusi serta meneliti dari pelbagai aspek sebelum memilih yang terbaik.

“Kita akan mengumumkan nama rasmi itu pada hari perasmian jambatan angkat pada tarikh ditetapkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di pekarangan Kediaman Seri Iman, di sini, hari ini.


Ahmad Samsuri (dua dari kanan) menyampaikan duit raya kepada orang ramai pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, selepas tempoh percubaan jambatan angkat itu tamat pada 17 Jun ini, kerajaan negeri akan mengenal pasti sebarang masalah atau aspek lain yang memerlukan penambahbaikan.

“Selepas tamat 15 hari jambatan angkat itu dibuka untuk percubaan, kita akan melihat aspek yang perlu diperbaiki, termasuk penambahan papan tanda,” katanya.

Pembinaan jambatan unik itu adalah sebahagian daripada projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan kos RM248 juta.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Berita Harian X