Khamis, 6 Jun 2019 | 4:15pm
SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Tuanku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, yang turut dihadiri oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin (kanan). - Foto Amran Hamid

Jamuan rakyat di Istana Anak Bukit

ALOR SETAR: Majlis Ramah Mesra Aidilfitri yang berlangsung di Istana Anak Bukit, di sini hari ini mengeratkan hubungan silaturahim antara kerabat diraja Kedah dan rakyat jelata.

Majlis yang bermula seawal jam 10.00 pagi meriah dengan kehadiran orang ramai yang mula memenuhi kawasan istana sejak jam 8.00 pagi.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah turut berkenan meluangkan masa beramah-mesra dan bersalaman dengan pengunjung.

Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin; Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Pelbagai juadah disediakan khas untuk orang ramai dalam majlis yang berlangsung sehingga jam 1.00 petang.

Seorang pengunjung, Nor Banisha Yeop, berkata ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke istana yang menjadi lambang kesultanan negeri Kedah.

“Selalunya saya hanya melihatnya dalam televisyen. Hari ini saya bersama lima anak dan dua adik ambil kesempatan untuk melihat sendiri keindahan istana.

“Kami keluar seawal jam 8.45 pagi sebelum beratur bersama orang ramai untuk ke Balai Santapan.

“Memang teruja kerana berpeluang bertemu dan menyambut Aidilfitri bersama barisan kerabat diraja hari ini,” katanya.

Berita Harian X