Ahad, 9 Jun 2019 | 4:49pm
PENGERUSI Koperasi Orang Asli Negeri Pahang Berhad, Datuk Nor Shabudin Monir.

Air di penempatan Orang Asli tercemar

SHAH ALAM: Kerajaan perlu memantau setiap penempatan Orang Asli bagi mengelakkan mereka terdedah kepada keracunan berikutan ujian yang dijalankan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati sumber air komuniti itu di seluruh Pahang tercemar.

Koperasi Orang Asli Negeri Pahang Berhad juga mendakwa ujian terhadap sumber air komuniti Orang Asli di seluruh negara turut mendapati majoritinya adalah negatif.

Pengerusinya, Datuk Nor Shabudin Monir, berkata ini kerana banyak penempatan baharu yang dipilih Orang Asli hampir dengan bekas kawasan pelombongan bijih timah, besi dan emas.

“Apabila mereka memilih kawasan bekas lombong, bahan kimia ammonia yang digunakan untuk mencuci emas, bijih besi sebelum ini, masih ada kerana ia tidak larut.

“Ini antara punca mereka terdedah kepada penyakit apabila menggunakan sumber air berkenaan,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Nor Shabudin berkata, sikap Orang Asli yang gemar berpindah randah juga menyebabkan mereka amat terdedah dengan keracunan air.

Sehubungan itu, katanya, setiap kali melawat kawasan penempatan Orang Asli, pihaknya akan melaksanakan kempen kesedaran air bersih selain memberikan pam air bagi memastikan menerima bekalan air bersih.

“Apabila pihak kami pergi ke kawasan penempatan mereka, ramai yang mengadu mengalami masalah keracunan tetapi mereka ini tidak mahu mendapatkan rawatan di bandar.

“Mereka lebih suka menggunakan rawatan tradisional atau menggunakan kaedah perubatan mereka sendiri.

“Jangan anggap Orang Asli ini sudah moden, sehingga tidak ada pemantauan. Mereka ini masih gemar meneroka kawasan hutan,” katanya.

Semalam, BH melaporkan penyakit tibi dan jangkitan kuman di paru-paru dipercayai menjadi punca kematian 13 Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh,Gua Musang sepanjang Mei hingga Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Taufik Maidin dilaporkan berkata siasatan pihaknya juga mendapati ramai lagi penduduk yang menghidap jangkitan kuman di paru-paru dipercayai tibi termasuk 31 orang yang sedang menerima rawatan.

Berita Harian X