Ahad, 9 Jun 2019 | 6:22pm
KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Dr Juli Edo. - NSTP/Siti Nor Hidayatidayu Razali
KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Dr Juli Edo. - NSTP/Siti Nor Hidayatidayu Razali

JAKOA sedia logistik agensi kerajaan siasat kes Kuala Koh

KUALA KRAI: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mencari punca kematian 14 Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Dr Juli Edo, berkata pihaknya akan membantu menyediakan logistik termasuk kenderaan kepada agensi kerajaan untuk menyiasat kes berkenaan.

“Sampel air yang digunakan penduduk juga akan diserahkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains untuk siasatan.

“Kemungkinan air yang digunakan ada bahan-bahan kimia akibat aktiviti perlombongan yang mengalir ke kawasan tadahan air penduduk. Harapan saya penyakit ini bukan berjangkit dan hanya disebabkan keracunan bahan kimia,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Krai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, jika punca penyakit disebabkan air, JAKOA akan membantu menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk di Kuala Koh.

Katanya, setakat ini jumlah penduduk di Kuala Koh seramai 196 orang.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, berkata Jabatan Kesihatan Pahang diminta memantau penularan radang paru-paru di perkampungan Orang Asli di negeri itu.

Beliau berkata, ia penting bagi mengelakkan penyakit itu berjangkit ke kawasan lain berikutan terdapat penularan radang paru-paru di Kuala Koh, Gua Musang ketika ini yang dikatakan berpunca daripada penghijrahan Orang Asli dari Pahang ke Kelantan.

"Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kesihatan Pahang untuk turut memantau keadaan Orang Asli di negeri itu agar penyakit tidak merebak ke perkampungan lain," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X