Ahad, 9 Jun 2019 | 6:49pm
Aktivis Masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye gesa semua pihak serta kerajaan Kelantan bagi mengatasi masalah jangkitan penyakit radang paru-paru. - NDTP/Owee Ah Chun

Siasat punca kematian Orang Asli suku Batek

KUALA LUMPUR: Kes kematian 14 Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang termasuk dua daripadanya akibat jangkitan penyakit radang paru-paru wajar dipandang dalam skop lebih luas.

Justeru, Aktivis Masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, menggesa semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan serta kerajaan Kelantan bagi mengatasi masalah itu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan masalah itu ada kaitan rapat dengan pencemaran sungai serta kegiatan pembalakan di sekitar kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa perlu melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti faktor menyebabkan penyakit terbabit merebak cepat sehingga ada yang terkorban.

“Saya yakin insiden itu tidak menjadi seteruk ini jika semua pihak melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan sebaik mungkin dan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesihatan masyarakat Orang Asli di kawasan terbabit.

“Kita tidak wajar mengabaikan kebajikan dan kesihatan Orang Asli kerana mereka adalah sebahagian daripada masyarakat majmuk dan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas kes kematian dua daripada 14 penduduk Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, yang sebelum ini yang dikaitkan dengan penularan jangkitan penyakit radang paru-paru dan penyakit Tibi seperti tersebar di media sosial.

Hari ini, Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, dalam satu kenyataan mengesahkan dua kes kematian tiada kaitan dengan penularan penyakit Tibi.

Malah, Dr Zaini berkata berdasarkan ujian klinikal dan bedah siasat di Hospital Gua Musang, hanya dua kes kematian berlaku akibat jangkitan penyakit radang paru-paru, manakala bakinya tidak dilaporkan kepada pihak hospital atau klinik kesihatan berhampiran.

Berita Harian X