Isnin, 10 Jun 2019 | 2:43pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad nasihat orang awam jangan masuk kampung Orang Asli Kuala Koh. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad nasihat orang awam jangan masuk kampung Orang Asli Kuala Koh. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Jangan masuk kampung Orang Asli Kuala Koh - KKM

KUALA LUMPUR: Orang awam dinasihatkan supaya tidak masuk ke perkampungan Orang Asli dekat Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan kerana jangkitan kuman di paru-paru mudah merebak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ketika mengumumkan larangan itu berkata siasatan pihaknya kini menjurus kepada penyakit terbabit, berbanding jangkitan Tuberkulosis yang pernah diuar-uarkan sebelum ini.

Beliau berkata, hal itu kerana pemeriksaan dan diagnosis petugas perubatan dari Kementerian Kesihatan mendapati rawatan terhadap hampir kesemua Orang Asli menunjukkan simptom yang sama.

“Punca sebenar (yang membawa kepada jangkitan kuman di paru-paru) akan diketahui dalam waktu terdekat,” katanya menerusi kenyataan di Twitter Kementerian Kesihatan, @KKMPutrajaya, hari ini.

Mengulas keperluan mengadakan penyiasatan lanjut, Dr Dzulkefly berkata, kementerian bersedia mengendalikan bedah siasat terhadap 14 Orang Asli yang didakwa meninggal dunia sekiranya mempunyai permintaan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, langkah itu mungkin sukar dilakukan kerana kementerian dimaklumkan bahawa polis tidak mengetahui lokasi sebenar mayat Orang Asli daripada suku kaum Batek terbabit dikebumikan.

“Setakat ini, Kementerian Kesihatan) sahkan hanya dua meninggal kerana pneumonia (jangkitan kuman di paru-paru),” katanya.

Dr Dzulkefly menjelaskan, petugas kesihatan dari kementerian mula masuk ke perkampungan Orang Asli di Kuala Koh, dekat Gua Musang setiap minggu, sejak April lalu, bagi merungkai polemik jangkitan penyakit yang didakwa menular di kawasan terbabit.

Sepanjang mengendalikan pemeriksaan menyeluruh, katanya, petugas Kementerian Kesihatan berdepan kesulitan kerana cara hidup Orang Asli yang berpindah randah apabila wujud ahli keluarga mereka meninggal disebabkan pelbagai faktor.

Berita Harian X