Isnin, 10 Jun 2019 | 3:43pm
Pengerusi Koperasi Orang Asli Negeri Pahang Berhad, Datuk Nor Shabudin Monir.
Pengerusi Koperasi Orang Asli Negeri Pahang Berhad, Datuk Nor Shabudin Monir.

Budaya pindah randah Orang Asli terdedah pencemaran

SHAH ALAM: Budaya Orang Asli yang gemar berpindah randah dan meneroka kawasan baharu mendedahkan komuniti itu dengan keracunan air, kata Pengerusi Koperasi Orang Asli Negeri Pahang Berhad, Datuk Nor Shabudin Monir.

Beliau berkata, pihaknya pernah melakukan uji kaji air di kawasan penempatan Orang Asli dan keputusannya berada pada tahap negatif.

Berikutan itu, pihaknya menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bertindak memantau kualiti air di penempatan Orang Asli seluruh negara.

“Kadangkala tempat baharu yang diterokai mereka ini adalah kawasan bekas melombong bijih timah, besi dan emas.

“Proses mencuci bijih timah dan emas ini perlu menggunakan bahan kimia ammonia yang sifatnya tidak boleh larut dalam air.

“Pemantauan terhadap Orang Asli ini perlu kerana mereka masih mengamalkan cara hidup lama,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Nor Shabudin berkata, disebabkan amalan budaya seumpama itu, Orang Asli terdedah dengan keracunan sumber air hingga menjejaskan kesihatan mereka.

Katanya, hasil uji kaji dijalankan pihaknya di Rompin, Pahang menunjukkan sumber air masyarakat Orang Asli tercemar dan memberi risiko kepada mereka.

“Perkara ini juga diakui mereka. Apabila saya pergi melawat perkampungan Orang Asli, ada yang mengadu mengalami keracunan, tetapi mereka mengambil inisiatif berubat cara kampung

“Untuk mengelak masalah berlanjutan, pihak saya sendiri menyediakan pam air untuk membolehkan mereka mendapat bekalan air bersih, selain mengadakan kempen kesedaran air bersih,” katanya.

Kelmarin, BH melaporkan penyakit tibi dan jangkitan kuman di paru-paru dipercayai menjadi punca kematian 13 Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh,Gua Musang sepanjang Mei hingga Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Taufik Maidin dilaporkan, berkata siasatan pihaknya juga mendapati ramai lagi penduduk menghidap jangkitan kuman di paru-paru dipercayai tibi termasuk 31 orang yang sedang menerima rawatan.

Berita Harian X