Isnin, 10 Jun 2019 | 6:19pm
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ditemuramah pemberita berkaitan kes kematian 14 Orang Asli Suku Kaum Batek di Kuala Koh. - NSTP/Zaman Huri Isa
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ditemuramah pemberita berkaitan kes kematian 14 Orang Asli Suku Kaum Batek di Kuala Koh. - NSTP/Zaman Huri Isa

Kelantan tunggu laporan agensi berkaitan

KOTA BHARU: Kerajaan negeri belum membuat keputusan sama ada mengisytiharkan darurat atau kuarantin di perkampungan Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang susulan jangkitan kuman paru-paru yang menyerang penduduk kampung itu dikesan mudah merebak.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sebelum sebarang keputusan dan tindakan diambil, pihaknya memerlukan laporan penuh daripada agensi terbabit.

“Sebelum apa-apa keputusan dan tindakan diambil, kita perlu mendapat laporan penuh dari agensi terbabit,” katanya ringkas ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau ditanya sekiranya kerajaan negeri akan mengambil tindakan darurat atau kuarantin kawasan itu berikutan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang menasihatkan orang awam supaya tidak masuk ke perkampungan Orang Asli dekat Kuala Koh, Gua Musang, kerana jangkitan kuman di paru-paru mudah merebak.

Dr Dzulkefly ketika mengumumkan larangan itu berkata siasatan pihaknya kini menjurus kepada penyakit terbabit, berbanding jangkitan Tuberkulosis yang pernah diuar-uarkan sebelum ini.

Beliau berkata, hal itu kerana pemeriksaan dan diagnosis petugas perubatan dari Kementerian Kesihatan mendapati rawatan terhadap hampir kesemua Orang Asli menunjukkan simptom yang sama.

Berita Harian X