Selasa, 11 Jun 2019 | 2:02pm
PERKAMPUNGAN Orang Asli Kuala Koh di Gua Musang. - Foto Syamsi Suhaimi
PERKAMPUNGAN Orang Asli Kuala Koh di Gua Musang. - Foto Syamsi Suhaimi

HAZMAT pantau kualiti udara di perkampungan Orang Asli

GUA MUSANG: Seramai 20 anggota Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) akan membuat kawalan dan pemantauan kualiti udara di perkampungan Orang Asli Kuala Koh, di sini, bagi menyekat penularan virus keluar dari kawasan itu.

Susulan itu, Pegawai Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Azlan Zainal, berkata pusat kawalan HAZMAT dibuka di perkampungan tetap Orang Asli suku Batek iaitu zon kuning sejak jam 12 tengah hari tadi bagi memudahkan anggota melakukan kerja kawalan sehingga kes selesai.

Beliau berkata, selain pemantauan kualiti udara, anggota HAZMAT juga akan mengambil sampel air di sungai yang digunakan berdekatan kawasan hutan yang menjadi lokasi perpindahan sementara, sebelum dihantar ke Jabatan Kimia.

“Buat masa ini, pemantauan kualiti udara di zon kuning iaitu perkampungan tetap Orang Asli Kuala Koh masih selamat.

“Zon merah yang diwartakan di tempat perpindahan sementara iaitu kira-kira dua kilometer (km) dari tempat penempatan tetap masih dalam kawalan dan pemantauan.

“Kita mendapat bantuan anggota dari Kuala Lumpur, Terengganu, Perak dan Melaka. Mereka ini akan bergilir-gilir menjaga pusat kawalan dan berkawal sekitar perkampungan ini,” katanya kepada media, sini, hari ini.

Mohd Azlan berkata, pemantauan itu akan dilakukan sehingga siasatan kes itu selesai.

Akhbar melaporkan orang awam dinasihatkan tidak masuk ke perkampungan Orang Asli dekat Kuala Koh, Gua Musang, kerana jangkitan kuman di paru-paru mudah merebak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ketika mengumumkan larangan itu berkata, siasatan pihaknya kini menjurus kepada penyakit terbabit, berbanding jangkitan Tuberkulosis (tibi) yang pernah diuar-uarkan sebelum ini.

Beliau berkata, hal itu kerana pemeriksaan dan diagnosis petugas perubatan dari Kementerian Kesihatan mendapati rawatan terhadap hampir semua Orang Asli menunjukkan simptom sama.

Berita Harian X