Selasa, 11 Jun 2019 | 3:50pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Dasar penggunaan 5G akan digubal

KLANG: Kerajaan akan menggubal dasar penggunaan teknologi 5G di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, dasar itu wajar diwujudkan kerana ia akan menjadi panduan kepada semua pihak berhubung tatacara penggunaan teknologi pada masa depan.

“Saya sudah lancarkan projek perintis 5G di Cyberjaya dan Putrajaya pada bulan lalu. Projek perintis ini dilaksanakan selama enam bulan.

“Dalam tempoh enam bulan pertama pihak berkaitan akan mengumpul maklumat berhubung penggunaan 5G. Manakala enam bulan berikutnya satu laporan penuh berhubung penggunaan 5G mesti disiapkan serta diserahkan kepada saya.

“Laporan ini penting untuk membantu kerajaan menggubal atau merangka dasar penggunaan 5G di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Dewan Dr V David di Kolej Institut Teknologi Pekerja (WIT) Pandamaran di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kerjasama dengan syarikat gergasi China, Huawei, Gobind berkata, negara kekal untuk menggunakan teknologi 5G syarikat berkenaan.

“Kita sudah pun buat satu keputusan mengenai kerjasama dengan Huawei, jadi tiada masalah. Isu itu (dakwaan pengintipan) tidak timbul,” katanya.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia tidak terancam dengan dakwaan pengintipan terhadap Huawei dan akan terus menggunakan teknologi 5G seluas mungkin.

Perdana Menteri berkata, Amerika Syarikat dan negara barat perlu mengakui negara Asia berupaya menghasilkan produk berdaya asing dan tidak sewajarnya mengancam pesaing.

Berita Harian X