Khamis, 13 Jun 2019 | 7:53pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto BERNAMA

Cubaan bunuh diri keluar dari Kanun Keseksaan - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara akan mengkaji cadangan untuk mengeluarkan jenayah cubaan bunuh diri atau ‘decriminalisation of attempted suicide’ daripada Kanun Keseksaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata itu antara lima perkara diputuskan dalam mesyuarat hari ini bagi membincangkan isu-isu kesejahteraan mental yang dilaporkan semakin membimbangkan.

Beliau berkata, turut diputuskan dalam mesyuarat sama, ialah pengisytiharan Oktober sebagai bulan kesedaran isu kesejahteraan mental dan melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional: ‘Let’s Talk Malaysia’ dalam usaha menghapuskan stigma masalah mental.

“Kesejahteraan mental amat penting kerana ia membabitkan semua golongan masyarakat, kanak-kanak, remaja, orang muda, dewasa dan warga emas, sama ada wanita mahupun lelaki.

“Masyarakat perlu lebih prihatin terhadap isu kesejahteraan mental. Saya menggesa mereka yang mengalami gangguan emosi atau perasaan supaya tampil mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat terbabit membabitkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Menteri Agama serta Polis Diraja Malaysia.

Dr Wan Azizah berkata tiga lagi perkara diputuskan iaitu mempertimbang cadangan supaya Talian Kasih 15999 dan talian Befrienders tidak lagi dikenakan caj telefon serta sistem nilai holistik perlu diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan khususnya sistem pendidikan.

Beliau berkata kerajaan juga akan melancarkan kempen ‘Deklarasi Keluarga’ sempena Hari Kebangsaan Malaysia, yang bertujuan menerapkan nilai-nilai kekeluargaan.

“Tragedi terkini berlaku pada 13 Mei lalu, di mana seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menamatkan riwayatnya selepas 69 peratus netizen mengundi ‘M’ di status Instagramnya.

“Kejadian ini jelas menunjukkan bahawa tahap kesedaran kesejahteraan mental perlu ditingkatkan. Ini juga menunjukkan pengaruh dan kesan negatif media sosial ke atas generasi muda,” katanya.

Beliau berkata kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan dilaksanakan Kementerian Kesihatan pada 2015 mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam masyarakat berusia 16 tahun ke atas adalah 29.2 peratus iaitu peningkatan tiga kali berbanding 10.7 peratus pada 1996.

Sementara itu pada 2017, katanya, kajian sama menumpukan kepada remaja sekolah berumur 13 hingga 17 tahun mendapati bahawa prevalen idea membunuh diri adalah 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012.

“Kedua-dua ini perkembangan yang membimbangkan dan memerlukan satu pendekatan holistik bagi menangani isu ini,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, kemurungan adalah ketidakupayaan yang utama dalam kalangan masyarakat di negara ini dan kesan ke atas ekonomi Malaysia disebabkan penyakit mental dijangka mencecah AS$25.3 bilion (RM105.4 bilion) pada 2030.

Berita Harian X