Jumaat, 14 Jun 2019 | 10:23am
Juli (tiga dari kiri) menerima sumbangan daripada Ketua Misi Bantuan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu, Profesor Dr Ramlee Abdullah (tiga dari kanan) untuk pesakit Orang Asli di Hospital Gua Musang. - NSTP/Ramli Ibrahim

JAKOA tumpu usaha pertingkat keperluan asas Orang Asli

GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang menyusun perancangan jangka panjang bagi membantu masyarakat Orang Asli di seluruh negara, termasuk suku Batek di Kuala Koh, di sini, terutama dari segi keperluan asas mereka.

Ketua Pengarah JAKOA, Profesor Dr Juli Edo, berkata pelan tindakan itu merangkumi usaha penyediaan sumber atau bekalan air bersih susulan kes penularan jangkitan kuman melalui pernafasan yang menyerang komuniti berkenaan yang sehingga kini dilaporkan meragut 14 nyawa.

Beliau turut mengakui keadaan penduduk Orang Asli di penempatan berkenaan yang sangat miskin berikutan sumber ekonomi mereka agak terbatas.

“JAKOA ketika ini belum lagi berbincang mengenai perancangan untuk komuniti itu memandangkan kes masih di bawah pengendalian Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Mereka akan menguruskannya terlebih dulu, termasuk semua pemasalahan berkaitan di situ.

“Bila semua sudah selesai dan keadaan terkawal, JAKOA akan memainkan peranannya merancang dan melaksanakan pelan pembangunan bagi membantu masyarakat Orang Asli di situ,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang, di sini.

Dari segi bekalan air bersih, katanya, JAKOA sudah berbincang dengan NADMA berhubung keperluan itu.

“Namun, saya percaya perkara itu turut diberikan keutamaan oleh kerajaan negeri, termasuk menghantar bekalan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Juli menjelaskan pihaknya juga sudah menyusun pelan pembangunan untuk kaum Orang Asli di seluruh negara.

Katanya, pelan itu sudah dibuat sebelum ini, namun memandangkan banyak penempatan kaum itu berdepan pelbagai masalah, pelaksanaannya tertangguh.

“Kita hanya menunggu masa untuk melaksanakan pelbagai pelan, termasuk kemudahan keperluan air bersih yang menjadi keutamaan kepada mereka.

“Perkara yang difikirkan ketika ini untuk kemudahan mereka yang bersifat jangka panjang adalah projek empangan air yang menjamin masa depan.

“Kita akan teliti semuanya termasuk juga penyelenggaraan kemudahan air bersih terawat sedia ada,” katanya.

Berita Harian X