Jumaat, 14 Jun 2019 | 12:14pm
Dr Wan Azizah pada sidang media ketika mengadakan lawatan berikutan kematian Orang Asli Suku Batek di Aring 10, Kuala Koh. - NSTP/Fathil Asri
Dr Wan Azizah pada sidang media ketika mengadakan lawatan berikutan kematian Orang Asli Suku Batek di Aring 10, Kuala Koh. - NSTP/Fathil Asri

Kem PLKN Etnobotani jadi pusat pemindahan sementara

GUA MUSANG: Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani, di sini dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara buat penduduk Orang Asli suku Batek yang sudah selesai mendapatkan rawatan di hospital.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata dianggarkan seramai 50 Orang Asli ditempatkan di pusat pemindahan sementara berkenaan dan tempat itu mampu menampung seramai 400 orang.

Beliau berkata, buat masa ini, situasi kebajikan Orang Asli Kuala Koh terkawal, namun orang awam tidak dibenarkan masuk, termasuk menyampaikan sumbangan selepas polis mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon merah.

“Kerajaan memahami keprihatinan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu meringankan beban keluarga Orang Asli, namun atas faktor keselamatan, mereka tidak dibenarkan menyalurkan sendiri bantuan berkenaan.

“Bagaimanapun, bantuan boleh disalurkan ke Pusat Pengumpulan Bantuan Awam, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Felda Aring 10, atau Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Gua Musang.

“Antara barang keperluan yang disarankan dan boleh disumbangkan untuk kegunaan Orang Asli Kuala Koh, termasuk makanan mentah, minuman bersih, kit kebersihan, selimut, kain pelikat, selipar, serta ubat kutu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau dan mendengar taklimat di pusat operasi Felda Aring, di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah melihat bantuan barangan keperluan makanan kepada Orang Asli suku Batek Kuala Koh. - NSTP/Fathil Asri
Dr Wan Azizah melihat bantuan barangan keperluan makanan kepada Orang Asli suku Batek Kuala Koh. - NSTP/Fathil Asri

Dr Wan Azizah melihat sumbangan yang akan diagihkan kepada wakil Orang Asli di Felda Aring 10, Gua Musang. - NSTP/Syamsi Suhaimi
Dr Wan Azizah melihat sumbangan yang akan diagihkan kepada wakil Orang Asli di Felda Aring 10, Gua Musang. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Turut hadir, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy.

Wan Azizah berkata, pampasan terhadap keluarga 14 mangsa Orang Asli yang meninggal dunia itu akan dipertimbangkan memandangkan kerajaan mempunyai Tabung Bencana.

“Kita akan fikirkan dulu macam mana (beri pampasan). Cuma kita rasakan wabak ini bahaya dan sebab itu kita hadkan daripada orang ramai untuk memasuki kawasan kampung itu.

“Selain daripada pendidikan kesihatan, sesi kaunseling juga diberikan kepada penduduk dan petugas bagi mengurangkan tekanan dan keresahan,” katanya.

Berita Harian X