Jumaat, 14 Jun 2019 | 7:21pm

Azmin tidak perlu 'bercuti' - Anwar

AYER KEROH: Tiada keperluan untuk mendesak Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk bercuti daripada menjalankan tugas dalam parti dan kerajaan, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, desakan yang cuba dibangkitkan oleh sesetengah pihak itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan tidak memberi kesan positif kepada kepemimpinan parti dan negara.

“Saya tidak bersetuju untuk meminta Azmin berehat sebagaimana diminta oleh pihak tertentu termasuk Otai Reformasi. Malah, hal itu juga tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik PKR dalam beberapa hari lalu.

“Kita sebenarnya tidak melarang orang hendak mengkritik kerana parti ini mengamalkan budaya politik bebas. Setiap pandangan boleh dikemukakan, tetapi nasihat saya ialah kurangkan beri kenyataan dan beri laluan untuk siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Hang Tuah Jaya di Kota Fesyen, MITC, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya yang juga Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Hari ini, badan bukan kerajaan (NGO) Otai Reformasi menggesa Putrajaya merehatkan Mohamed Azmin daripada tugasnya sebagai menteri susulan kontroversi klip video seks membabitkan lelaki miripnya bersama seorang lelaki lain.

Pengerusinya, Idris Ahmad dipetik sebagai berkata, desakan itu dibuat bagi membolehkan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan selepas aduan mengenainya dibuat.

Ditanya adakah kontroversi itu turut memberi kesan kepada beliau, Anwar berkata, dalam politik segala tohmahan sudah biasa dilaluinya sejak dulu.

“Politik ini, segala tohmahan sudah 20 tahun saya lalui. Saya tengok dalam lingkungan parti ini ia terlalu kecil. Mungkin (tohmanan) ini orang tiada kedudukan, tewas dalam pertandingan,” katanya.

Ditanya adakah keperluan untuk PKR melakukan siasatan dalam susulan klip video itu, Anwar berkata, pihaknya menyerahkan kepada Biro Politik parti dan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sebelum sebarang tindakan diambil.

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Hang Tuah Jaya di Kota Fesyen, MITC. NSTP/Khairunisah Lokman
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Hang Tuah Jaya di Kota Fesyen, MITC. NSTP/Khairunisah Lokman

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X