Sabtu, 15 Jun 2019 | 10:08pm
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan hadir ke Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor di Bulatan Bazarena, Shah Alam. Turut bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. NSTP/Sairien Nafis

Selangor catat hasil RM1.214 bilion sehingga 7 Jun tahun ini

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor merekodkan hasil negeri sebanyak RM1.214 bilion sehingga 7 Jun tahun ini, berbanding RM1.067 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata peningkatan hasil sebanyak 13.7 peratus itu menunjukkan negeri ini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran dalam Belanjawan 2019.

“Selain itu, Selangor turut mencatat aliran pelaburan tempatan dan luar negara sebanyak RM18.94 bilion pada 2018 berbanding RM5.59 bilion pada 2017.

“Jumlah pelaburan yang dicatatkan ini adalah yang tertinggi dalam sejarah negeri iaitu peningkatan sebanyak 238 peratus,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat Selangor di Bulatan Bazarena Seksyen 13, di sini, malam ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan berangkat pada program bersama rakyat itu.

Yang turut mengiringi Tuanku Sultan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Amirudin berkata, Kerajaan Selangor akan memastikan kebajikan rakyat dibela dan dijadikan keutamaan.

“Kerajaan negeri akan memastikan program kepedulian rakyat dapat dilaksanakan dalam kerangka dasar yang mampan.

“Sesungguhnya pentadbiran ini amat menginsafi mandat yang diberikan rakyat pada 9 Mei 2018.

“Adalah menjadi tanggungjawab buat kita untuk menterjemahkan mandat itu kepada sistem politik berasaskan nilai, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, politik fitnah, adu domba menjejaskan muafakat dan keharmonian di negeri ini.

“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku sudah mengeluarkan titah pada 29 Mei 2019 lalu supaya orang Melayu menjauhi sifat negatif.

“DYMM mengingatkan rakyat Selangor terutamanya orang Melayu bahawa gejala fitnah memfitnah serta perasaan hasad dengki, pengkhianatan dan perasaan benci yang dipamerkan, seolah-olah dijadikan satu budaya dalam kalangan orang Melayu,” katanya.

Berita Harian X