Ahad, 16 Jun 2019 | 12:52pm
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Owee Ah Chun

NIOSH kaji semula program OGSP di Pengerang

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan mengkaji semula program Pasport Keselamatan Minyak dan Gas (OGSP) bagi memenuhi keperluan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kajian semula itu dilaksanakan hasil kesepakatan pihaknya dengan PETRONAS untuk mengubahsuai dan memperbaiki modul OGSP.

Beliau berkata, kajian itu akan mengambil kira teknologi, peralatan dan jentera terkini selain kaedah untuk menangani bahaya serta risiko berkaitan.

“Kajian semula ini tepat pada masanya memandangkan kemajuan pesat Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di PIC.

“Pada lawatan Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan NIOSH ke RAPID baru-baru ini, kami dapat lihat perkembangan pesat di kawasan itu yang kini menjadi pusat pelbagai aktiviti berkaitan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, NIOSH dan PETRONAS juga merancang untuk memperkenalkan kursus pemanduan berhemah bagi jentera berat dan latihan keselamatan asas tahun ini untuk membantu mencapai kemalangan sifar membabitkan kenderaan berat di PIC.

“NIOSH mempunyai hubungan yang rapat dengan PETRONAS dan sudah menganjurkan pelbagai program latihan keselamatan dan kesihatan (KKP) untuk syarikat petroleum itu seperti OGSP dan Pasport Keselamatan untuk Peruncit Petronas(PRHP),” katanya.

Katanya, bagi menyediakan perkhidmaan cekap dan cemerlang, NIOSH membuka pejabat cawangannya di Bandar Penawar, Pengerang pada Februari 2017.

“Sepanjang 2017, pejabat NIOSH di Pengerang sudah menganjurkan 108 kursus dan melatih 2,189 peserta manakala pada 2018, sebanyak 137 kursus membabitkan 2,689 peserta dilaksanakan.

“Dalam lima bulan pertama tahun ini, NIOSH menganjurkan 90 kursus membabitkan 1,759 peserta daripada PETRONAS, Pengerang Terminals, Dialog Group dan Samsung.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha NIOSH untuk memasyarakatkan KKP dan pejabat Pengerang akan membantu ibu pejabat Wilayah Selatan NIOSH di Senai, meningkatkan kesedaran mengenai KKP di Johor dan negeri lain di wilayah selatan,” katanya.

Berita Harian X