Ahad, 16 Jun 2019 | 4:38pm
Tiga gajah ditemui mati di Kampung Sri Timur 3 dipercayai diracun pihak tidak bertanggungjawab pada 4 Jun lalu. - NSTP/Ihsan Pembaca
Tiga gajah ditemui mati di Kampung Sri Timur 3 dipercayai diracun pihak tidak bertanggungjawab pada 4 Jun lalu. - NSTP/Ihsan Pembaca

Aktiviti perladangan ceroboh habitat gajah

ALOR SETAR: Aktiviti perladangan kelapa sawit, pembalakan dan pertanian yang menceroboh habitat hidupan liar sejak beberapa dekad lalu memberi kesan terhadap gajah yang semakin ketandusan kawasan rayau.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Ramanamat, berkata kemerosotan dan kemusnahan ketara kawasan hutan menjadi punca permasalahan semakin meruncing.

Katanya, gajah didorong untuk keluar dari habitat semula jadi disebabkan faktor yang dicetuskan manusia mengakibatkan haiwan itu sering menjadi mangsa pelbagai jenis kemalangan.

“Konflik antara manusia dan gajah ini tidak terhad di Semenanjung sahaja, tetapi ia juga kerap berlaku di Sabah sekali gus menimbulkan kemarahan kepada penyokong pemuliharaan haiwan serta alam sekitar.

“Selain pengembangan ladang kelapa sawit yang menjadi ancaman bagi habitat terbabit, gajah turut menjadi mangsa racun peladang, pemburu haram atau perangkap yang dipasang untuk menangkap hidupan lain,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi SAM, kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kematian tiga ekor gajah di Kampung Sri Timur 3, Kluang, Johor yang dipercayai diracun pihak tidak bertanggungjawab pada 4 Jun lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata pertambahan penempatan manusia dan pencerobohan pertanian berhampiran dengan habitat hidupan liar meningkatkan tekanan kepada gajah.

“Kekurangan makanan di kawasan hutan yang semakin mengecil seiring dengan pencerobohan kawasan tanaman oleh gajah yang mengakibatkan kerosakan kepada penempatan manusia dan tanaman pertanian.

“Antara langkah yang boleh digunakan adalah strategi pemuliharaan baharu berdasarkan gabungan perancangan penggunaan tanah meliputi kebajikan hidupan liar, perlindungan tanaman, pampasan ekonomi dan pendidikan bagi mempromosikan kewujudan bersama antara manusia dan gajah,” katanya.

Berita Harian X