Ahad, 16 Jun 2019 | 4:46pm
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Roslan Rani. - NSTP/Amran Hamid
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Roslan Rani. - NSTP/Amran Hamid

Susulan habitat gajah terancam: Aktiviti pembalakan di Kedah terkawal

ALOR SETAR: Aktiviti pembalakan di Kedah dilaksanakan secara terkawal dengan mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara (MTN).

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Roslan Rani, berkata seperti tahun lalu hanya 888 hektar kawasan balak ditebang daripada catuan tebangan tahunan sebanyak 3,072 hektar.

“JPNK mengawal aktiviti penebangan balak secara konsisten, pada tahun lalu saja hanya 29 peratus sahaja kawasan dibalak daripada keluasan yang sepatutnya.

“Kita sentiasa peka dan meninjau kerja-kerja pembalakan ini berikutan sedar kesannya terhadap keseimbangan alam termasuk kepada penghuninya iaitu haiwan liar termasuk gajah,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas sama ada aktiviti pembalakan di Kedah memberi kesan kepada hidupan liar seperti gajah.

Mengulas lanjut, Roslan berkata seiring dengan arahan kerajaan negeri menghentikan terus aktiviti pembalakan tahun lalu, maka JPNK yakin ancaman terhadap habitat gajah tidak berlaku.

Bagaimanapun katanya, anggota jabatan itu sentiasa memantau dan melakukan operasi secara berterusan bagi memastikan tiada pembalakan haram dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

BH semalam melaporkan, aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan tidak terkawal membuatkan kawasan rayau gajah di Johor, semakin mengecil menyebabkan kumpulan hidupan liar itu memasuki kampung dan kebun penduduk berhampiran Hutan Simpan Panti, di sini.

Pengecilan kawasan rayau itu mengganggu habitat serta menjejaskan sumber makanannya selama ini, sedangkan seekor gajah memerlukan lebih 20 kilogram makanan setiap hari, manakala sekumpulan gajah memerlukan kawasan rayau kira-kira 100 kilometer persegi.

Keadaan itu membuatkan konflik gajah dengan penduduk di negeri ini semakin serius sejak lima tahun kebelakangan ini dan kemuncaknya, tiga gajah dewasa berusia di antara 18 hingga 22 tahun, mati akibat termakan racun dipasang dalam kebun pinggir hutan di Jalan Kampung Sri Timur, Kluang pada 4 Jun lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X