Isnin, 17 Jun 2019 | 2:24pm

1,000 tan durian sejuk beku dijangka dieksport ke China setiap bulan

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menjangka 1,000 tan durian jenis premium iaitu Musang King (D197) dan Black Thorn (D200) dieksport ke China setiap bulan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata kementeriannya yakin jumlah pengeluaran mencukupi bagi memenuhi pasaran tempatan dan luar negara, termasuk untuk pasaran China.

“Kementerian kini menjadikan durian sebagai salah satu industri di bawah Sumber Kekayaan Baharu. Dianggarkan nilaian kepada eksport negara dijangka kira-kira RM500 juta untuk setahun.

“Buat masa ini kebenaran untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji (whole fruit) diberikan kepada lima syarikat iaitu Exofruits Industry Sdn Bhd, JL Food Industries Sdn Bhd, PHG Ever Fresh Food (M) Sdn Bhd, Top Fruits Sdn Bhd dan KAMI Food Services Sdn Bhd.

“Kementerian berharap lebih banyak syarikat akan mendapat kelulusan untuk mengeksport pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Pengeksportan Sulung Buah Durian Sejuk Beku Malaysia Ke China, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, penghantaran sulung durian sejuk beku dalam bentuk biji itu dianggap detik bersejarah dalam industri pertanian negara kerana sebelum ini hanya menghantar durian berkenaan secara pes mahupun ulas.

Beliau juga menggalakkan pengusaha untuk mengadakan aktiviti agro pelancongan berasaskan durian sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Sementara itu, Duta China ke Malaysia, Bai Tian mengakui beliau penggemar durian dari Malaysia dan menganggap raja buah dari negara ini adalah yang terbaik di dunia.

“Di China kini sudah ada lebih 1.4 bilion penduduk dan dianggarkan 300 hingga 400 juta penduduk sedang menantikan kedatangan durian ini.

“Diharapkan perdagangan ini berjaya dan akan memberi faedah kepada lebih banyak pengusaha durian,” katanya.

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Anggota Parlimen Pulai, Datuk Salahuddin Ayub. - Foto BERNAMA
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Anggota Parlimen Pulai, Datuk Salahuddin Ayub. - Foto BERNAMA
Berita Harian X