Isnin, 17 Jun 2019 | 5:26pm
KETUA Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak. - Foto BERNAMA

Permintaan tinggi tempoyak elak lambakan durian

SEREMBAN: Permintaan tempoyak oleh restoran yang semakin tinggi ketika ini sehingga mencecah sejuta kilogram, dapat mengelak berlaku masalah lambakan durian, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.

Beliau berkata, hasil tinjauan pihaknya mendapati keperluan itu meningkat terutama di Pahang, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.

“Itu satu angka besar, malah turut menyebabkan harga tempoyak meningkat mendadak daripada RM10 sekilogram kepada RM30 sekilogram pada masa ini.

“Ini jelas menunjukkan permintaan bagi durian yang diproses semakin bertambah, sekali gus dapat mengelak daripada berlaku lambakan durian,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-16 Kelab Sukan FAMA di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, selain permintaan tempoyak, usaha kerajaan mengeksport buah tempatan itu ke luar negara juga dapat membantu mengatasi masalah lambakan.

Katanya, setakat ini hampir 27 negara yang mengeksport durian berkualiti dari Malaysia termasuk China, Singapura, Hong Kong, Australia dan Kanada.

“Malah tahun lalu saja, kita berjaya mengeksport durian ke China bernilai RM70 juta dan berharap jumlah ini akan terus bertambah memandangkan kali ini kita dibenar mengeksport durian sejuk beku.

“Saya yakin hasil pasaran tempatan dan luar negara, selain penjualan pelbagai durian diproses, tidak akan berlaku isu lambakan durian di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengeksport durian diharap dapat menjadikan Malaysia antara negara pengeluar durian terbesar dunia kerana negara berjaya menghasilkan durian berkualiti tinggi seperti Musang King dan Black Thorn.

Malah, katanya, selain durian dari Pahang, durian dari Kuala Pilah dan Jelebu, di sini, juga kini semakin berkualiti tinggi hasil tanaman di tanah bersesuaian.

“Bagaimanapun, jika masih berlaku lambakan durian, FAMA bersedia membantu menghasilkan makanan lain seperti durian ‘crepe’, ‘mochi’ dan biskut dalam usaha memperluaskan pasaran durian yang diproses,” katanya.

Berita Harian X