Selasa, 18 Jun 2019 | 4:28pm
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar hadir pada majlis Sambutan Kongsi Raya Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) 2019 di Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar hadir pada majlis Sambutan Kongsi Raya Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) 2019 di Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Akta Perhutanan Negara akan dipinda kawal aktiviti pembalakan

PUTRAJAYA: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan mengeluarkan garis panduan dalam masa terdekat bagi menangani aktiviti pembalakan dan pengeluaran hasil hutan tidak terkawal.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar, berkata pihaknya juga akan mencadangkan pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 bagi membolehkan garis panduan itu dimasukkan ke dalam akta.

“Kita sedia maklum hal tanah bidang kuasanya di bawah kerajaan negeri, jadi pemberian kuasa, lesen pembalakan dan sebagainya semua di bawah negeri.

“Tetapi saya sudah minta Jabatan Perhutanan membuat satu garis panduan yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat kepada negeri bagaimana hendak menggunakan dan mengeluarkan hasil hutan.

“Garis panduan ini hanya rujukan kepada kerajaan negeri, kita tidak boleh paksa kalau pihak negeri tidak mahu mengikutnya, kerana kita tidak ada kuasa,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Majlis Kongsi Raya Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di sini, hari ini.

Beliau berkata, garis panduan berkenaan antara lain menyentuh mengenai kawalan bagi pengeluaran hasil hutan, termasuk larangan bagi pengeluaran hasil di kawasan sensitif seperti kawasan tadahan air.

“Garis panduan itu juga akan mengambil contoh negeri Selangor yang tidak memberikan kuasa kepada Exco negeri membuat keputusan, sebaliknya menerusi Jawatankuasa Khas Siasatan Awam, iaitu satu badan bebas yang membuat keputusan dalam isu berkaitan tanah dan hasil hutan sebelum membuat pendengaran awam.

“Kita perlu kerjasama kerajaan negeri bagi menjayakan garis panduan ini, kalau tidak selama-lamanya kerajaan negeri akan kata, kuasa mereka untuk tentukan keadaan hutan, dan hutan mana hendak diwartakan dan pada akhirnya mereka sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja,” katanya.

Baru-baru ini, laporan eksklusif akhbar ini mendedahkan sekurang-kurangnya tiga lokasi di Jalan Jemaluang - Mersing, Johor dikesan semakin gondol dipercayai akibat kerja pembalakan.

Peta Google juga menunjukkan lokasi pembalakan itu berada di kawasan sekitar Hutan Simpan Lenggor dan Gunung Arong.

Kawasan pembalakan membabitkan hutan seluas lebih 30 hektar itu dipercayai dijalankan sejak kira-kira lima tahun lalu.

Laporan akhbar ini juga menyebut, kegiatan pembalakan dan penerokaan hutan tidak terkawal mengecilkan kawasan rayau gajah di Johor.

Ini menyebabkan kumpulan hidupan liar itu memasuki kampung dan kebun penduduk berhampiran Hutan Simpan Panti, di negeri itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X