Rabu, 19 Jun 2019 | 11:12am
PERKAMPUNGAN Orang Asli Suku Batek, di Kampung Kuala Koh. - Foto Fathil Asri
PERKAMPUNGAN Orang Asli Suku Batek, di Kampung Kuala Koh. - Foto Fathil Asri

Gotong-royong bersih kampung bendung penularan wabak

GUA MUSANG: Bimbang penularan wabak demam campak, lebih 100 penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Pasir Linggi, dekat sini, mengadakan gotong-royong membersih perkampungan mereka pagi ini.

Tok Batin Kampung Pasir Linggi, Bolek Lilin, berkata mereka mengambil inisiatif itu untuk memastikan kebersihan di seluruh kampung terjaga.

“Biarpun penduduk bebas daripada jangkitan demam campak selepas saringan kesihatan seminggu lalu tetapi inisiatif itu perlu dilakukan.

“Kita mengambil langkah awal sebelum wabak berkenaan merebak kerana kampung kami ini juga pernah dikunjungi penduduk Kampung Kuala Koh yang diserang penyakit itu,” katanya.

Mohd Alang Sakarwi, 40, berkata, aktiviti gotong-royong itu hasil muafakat penduduk untuk mengelakkan penularan penyakit berjangkit.

“Kedudukan kampung ini berjiran dengan Kampung Kuala Koh dan kami perlu mengambil langkah awal.

“Kami juga mengehadkan pergerakan terutama keluar daripada kampung itu sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Berita Harian X