Rabu, 19 Jun 2019 | 11:35am
Foto Hiasan

Insiden culik jauh dari lokasi pelancongan - MAH

KOTA KINABALU: Insiden penculikan terbaharu membabitkan 10 kru bot nelayan di perairan Tambisan, Lahad Datu, awal pagi semalam terletak jauh dari lokasi tumpuan pelancong, sekali gus tidak menjejaskan aktiviti pelancongan di kawasan pantai timur Sabah.

Pengerusi Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Sabah dan Labuan, Gordon Seet, berkata pihaknya juga yakin dengan keupayaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk mengawal keselamatan termasuk melindungi pulau peranginan.

“Walaupun berlaku insiden penculikan, masih selamat untuk berkunjung ke Sabah. Pengunjung ke pulau juga selamat kerana ESSCOM sudah mengesahkan keselamatan di pantai timur Sabah adalah terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden penculikan 10 kru bot nelayan yang dilaporkan berlaku berhampiran perairan Tambisan di Lahad Datu, pada kira-kira jam 2 pagi semalam.

Bagaimanapun, katanya MAH tetap memberi perhatian yang serius terhadap insiden itu sejajar keutamaan terhadap keselamatan pelancong yang datang ke negeri ini.

Sementara itu, katanya ketika ini jumlah pengunjung ke pantai timur Sabah, khususnya Semporna dan Lahad Datu terus meningkat, menyebabkan hotel di daerah terbabit sentiasa penuh.

“Kita menggalakkan pengunjung menikmati tarikan yang ada di Sabah dan melihat sendiri alam semula jadi terbaik di Asia Tenggara yang ada di negeri ini.

“Disebabkan kadar penginapan yang tinggi hotel di Semporna dan Lahad Datu, pengunjung perlu menempah lebih awal,” katanya.

Berita Harian X