Rabu, 19 Jun 2019 | 2:14pm

Garis panduan kawal hasil hutan

Putrajaya: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan mengeluarkan satu garis panduan dalam masa terdekat bagi menangani kegiatan pembalakan dan pengeluaran hasil hutan tidak terkawal.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar, berkata pihaknya akan mencadangkan pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 bagi membolehkan garis panduan itu dimasukkan ke dalam akta.

“Kita sedia maklum hal tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri, jadi pemberian kuasa, lesen pembalakan dan sebagainya semua di bawah negeri.

“Tetapi saya sudah minta Jabatan Perhutanan membuat satu garis panduan dalam masa terdekat ini kepada negeri bagaimana hendak mengguna dan mengeluarkan hasil hutan.

Tiada paksaan

“Garis panduan ini sebagai rujukan kepada kerajaan negeri, (namun) kita tidak boleh paksa kalau kerajaan negeri tidak mahu mengikutinya kerana kita tidak ada kuasa,” katanya pada Majlis Kongsi Raya Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, di sini, semalam.

Xavier berkata, garis panduan berkenaan antara lain menyentuh mengenai kawalan bagi pengeluaran hasil hutan termasuk larangan pengeluaran hasil di kawasan sensitif seperti kawasan tadahan air.

“Garis panduan itu juga akan mengambil contoh negeri Selangor yang tidak memberikan kuasa kepada EXCO negeri membuat keputusan, sebaliknya menerusi Jawatankuasa Khas Siasatan Awam iaitu satu badan bebas yang membuat keputusan dalam isu berkaitan tanah dan hasil hutan sebelum membuat pendengaran awam.

“Justeru, kita perlu kerjasama kerajaan negeri dan Pusat bagi menjayakan garis panduan ini, kalau tidak selama-lamanya kerajaan negeri akan kata ia kuasa mereka untuk tentukan keadaan hutan, hutan mana hendak diwartakan, dan pada akhirnya mereka sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja,” katanya.

Jejas habitat, kawasan rayau gajah

Baru-baru ini, laporan eksklusif akhbar ini mendedahkan sekurang-kurangnya tiga lokasi di Jalan Jemaluang-Mersing, di Johor dikesan semakin gondol dipercayai akibat kerja pembalakan.

Laporan akhbar ini juga menyebut, kegiatan pembalakan dan penerokaan hutan tidak terkawal mengecilkan kawasan rayau gajah di Johor.

Ini menyebabkan kumpulan hidupan liar itu memasuki kampung dan kebun penduduk berhampiran Hutan Simpan Panti, di negeri itu.

Perkayakan semula kawasan penerokaan hutan

Johor Bahru: Konflik gajah dengan penduduk yang semakin serius di Johor boleh dikurangkan menerusi aktiviti memperkayakan semula kawasan pembalakan dan penerokaan hutan di negeri itu.

Aktiviti memperkayakan semula hutan, terutama di kawasan matau atau tempat longgokan balak, antara lain dengan menggemburkan tanah sebelum ditanam pokok dan rumput yang sesuai untuk memulihara habitat hidupan liar, terutama gajah.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban, berkata kerajaan negeri perlu melakukan tindakan itu kerana ia dapat mengoptimum kegunaan kawasan terbiar selepas aktiviti pembalakan.

Secara ekologi, katanya, gajah boleh menyesuaikan diri di kawasan hutan bekas dibalak kerana banyak spesies tumbuhan yang menjadi makanan haiwan itu seperti pisang hutan, buluh dan tepus.

“Apa yang kita perlu dilakukan ialah memperkayakan semula bekas pembalakan dengan menggemburkan tanah dan menanam semula pokok dan rumput yang menjadi lokasi habitat gajah,” katanya kepada BH.

Salman berkata, Johor boleh mencontohi Thailand yang mengambil alih kawasan diceroboh di Taman Negara Kuiburi di negara itu dengan membaik pulih kawasan berkenaan.

“Langkah memperkayakan semula habitat membabitkan lebih 1,000 hektar tanah di Thailand berjaya mengurangkan kira-kira 60 peratus gangguan gajah. Ia boleh diguna pakai di negara ini,” katanya.

Beliau mengulas laporan khas BH mengenai pembalakan dan penerokaan hutan tidak terkawal membuatkan kawasan rayau gajah di Johor, semakin mengecil menyebabkan kumpulan hidupan liar itu memasuki kampung dan kebun penduduk berhampiran Hutan Simpan Panti.

Pengecilan kawasan rayau itu mengganggu habitat serta menjejaskan sumber makanannya selama ini, sedangkan seekor gajah memerlukan lebih 20 kilogram makanan setiap hari, manakala sekumpulan gajah memerlukan kawasan rayau kira-kira 100 kilometer persegi.

Konflik serius

Keadaan itu membuatkan konflik gajah dengan penduduk Johor semakin serius sejak lima tahun kebelakangan ini dan kemuncaknya, tiga gajah dewasa berusia antara 18 hingga 22 tahun, mati termakan racun dalam kebun pinggir hutan di Jalan Kampung Sri Timur, Kluang.

Ketika ini, ada antara 120 hingga 160 gajah di Johor daripada anggaran keseluruhan antara 1,400 hingga 1,600 gajah di seluruh Semenanjung dan jumlah itu dijangka terus menurun jika isu konflik gajah dan manusia berterusan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu gajah di Johor unik kerana habitat haiwan itu terhad berikutan kawasan dikelilingi penempatan penduduk, ladang dan hutan yang berpecah-pecah.

Setakat ini, ada lima kumpulan besar gajah di daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Bagi memudahkan pengurusan, kumpulan itu dikenali mengikut ID iaitu ID Jemaluang (20-30 ekor), ID Panti (30-40 ekor), ID Labis (5-15 ekor), ID Tenggara (25-30 ekor) dan ID Taman Negara (lebih 45 ekor).

“Isu konflik manusia-gajah sinonim dengan Johor dan isu ini unik kerana habitat haiwan itu terhad berikutan dikelilingi penempatan dan hutan berpecah-pecah, selain banyak ladang, berbanding negeri lain seperti Perak, Pahang dan Kelantan yang mempunyai hutan masih luas.

“Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 15 kampung dikesan menghadapi masalah gangguan gajah dengan kerugian dianggarkan RM200,000,” katanya.

Beliau berkata, Santuari Gajah Johor (JES) berdekatan dengan Kampung Lukut dijangka beroperasi akhir tahun ini dalam usaha untuk memperkasakan pengurusan gajah di negeri ini bagi mengurangkan gangguan gajah liar di kawasan pertanian dan penempatan penduduk.

“Projek JES akan menyediakan kawasan padang ragut seluas lebih kurang 10 hektar dan mampu menampung sehingga 20 gajah meragut pada satu-satu masa,” katanya.

“Pembangunan padang ragut juga dijalankan di kawasan koridor santuari gajah di Muntahak, Kota Tinggi yang dapat menampung 40 hingga 50 gajah pada satu-satu masa,” katanya.

Berita Harian X