Rabu, 19 Jun 2019 | 5:15pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) peraga aplikasi SIRIM QAS pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan 2019 di Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Standard filem penghadang haba kenderaan dikuat kuasa Julai 2020

PUTRAJAYA: Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan akan dikuatkuasakan kepada semua pengeluar, pengedar dan peruncit filem penghadang haba kenderaan bermula 1 Julai tahun depan.

Susulan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kementerian memberi tempoh pendidikan bermula hari ini hingga 30 Jun tahun depan kepada pihak terbabit mematuhi garis panduan berkenaan secara sukarela sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Julai 2020.

“Untuk tempoh setahun bermula esok (hari ini), garis panduan ini dilancarkan sebagai panduan dan langkah didikan kepada pihak industri iaitu pengeluar, pengedar dan peruncit filem penghadang haba kenderaan sebelum peraturan mandatori mengenainya dikeluarkan.

“Keputusan penyediaan garis panduan dibuat selepas mengambil kira impak positif yang mana pengguna dapat membuat pilihan membeli filem penghadang haba kenderaan yang berkualiti dan mempunyai pelabelan logo SIRIM Berhad (SIRIM),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pensijilan dan pelabelan serta QR kod akan dikuatkuasakan apabila perintah mandatori dikeluarkan mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 pada 1 Julai tahun depan.

Katanya, garis panduan berkenaan mengesyorkan pihak industri terutama pengimport dan pengedar kenderaan mendapatkan pensijilan dan pengujian filem penghadang haba kenderaan sebelum dibekalkan ke pasaran Malaysia.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesyorkan setiap produk filem penghadang haba kenderaan yang akan dijual perlu melalui ujian dan lulus standard MS2669.

“Seterusnya, produk itu perlu mendapatkan pensijilan dan label berserta kod QR sebagai pengesahan daripada SIRIM sebelum

dipasarkan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun garis panduan belum dimandatorikan, pihak industri masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada mengenai penandaan maklumat yang berkaitan pada label filem penghadang haba kenderaan yang sedang berkuat kuasa

iaitu Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Bagi mana-mana pengeluar, pengimport atau pembekal yang melekatkan label atau kod QR palsu tidak disahkan SIRIM, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 bagi orang persendirian atau RM250,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi tiga tahun kerana melabelkan penyataan palsu yang boleh memperdayakan pengguna.

“Dengan adanya garis panduan ini, kerajaan dapat membendung Malaysia daripada menjadi pusat lambakan barangan tidak berkualiti dan substandard kepada pengguna,” katanya.

Sementara itu, mengulas mekanisme pelaksanaan subsidi petrol secara bersasar, beliau berkata, pihaknya sedang menunggu Kementerian Kewangan menetapkan tarikh mesyuarat diadakan.

“Pada bulan ini akan diadakan mesyuarat memuktamadkan langkah ke arah pelaksanaan subsidi petrol bersasar antara

KPDNHEP dan Kementerian Kewangan.

“Saya sedang menunggu tarikh mesyuarat daripada Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) untuk kedua-dua pihak memperincikan dan memuktamadkan dari segi polisi, implikasi kewangan, data dan proses yang seterusnya menjawab semua perkara berkenaan

mekanisme itu,” katanya.

Berita Harian X