Khamis, 20 Jun 2019 | 2:05pm

Bukan semua plastik adalah sampah - persatuan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) dan Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia (MPRA) menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap penyeludupan ‘sampah plastik’.

MPMA dan MPRA dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka juga menyokong usaha kerajaan mengurangkan operasi kitar semula haram yang sehingga kini 150 daripadanya sudah ditutup.

Bagaimanapun, MPMA dan MPRA kesal terhadap desakan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu larangan terhadap sisa plastik dikuatkuasakan malah menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertimbang rasa selain menjejaskan perniagaan di negara termasuk pengeluar yang patuh undang-undang.

“Dengan menggunakan istilah ‘sisa plastik’, NGO turut merujuknya sebagai ‘sampah plastik’ walaupun ia adalah urus niaga import yang dibenarkan.

“Ia hanya menjejaskan reputasi perniagaan sah di negara ini dan bukannya menangani masalah penyeludupan.

“Kami bimbang perniagaan sah dituduh menyalahi undang-undang dan kenyataan tidak tepat itu boleh menjejaskan pendapatan individu dan keluarga mereka,” katanya.

MPMA dan MPRA juga melahirkan kebimbangan mereka terhadap kejadian di Kedah yang disyaki bermotifkan serangan dengan memusnahkan sebuah kilang berlesen selain meletakkan nyawa pekerja, penduduk setempat dan anggota bomba dalam risiko.

“Aktiviti kitar semula yang dijalankan pengendali berlesen terhadap jenama tempatan dan luar negara dalam sektor elektrik dan elektronik, automotif, pengeluaran serta industri pembinaan.

“Larangan secara keseluruhan hanya akan menyebabkan persaingan Malaysia dalam perkembangan ekonomi global terhenti,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, aktiviti kitar semula memainkan peranan penting dalam melindungi alam sekitar dengan menguruskan sisa buangan dengan baik.

“Malah aktiviti kitar semula juga membantu perkembangan ekonomi dengan mencipta nilai baharu yang memanfaatkan masyarakat menyumbang kepada kemampanan,” katanya.

Berita Harian X