Khamis, 20 Jun 2019 | 6:39pm
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (kanan) ditemubual pemberita semasa menghadiri majlis Jalinan Mesra Kementerian Pendidikan hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (kiri). - Foto BERNAMA
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (kanan) ditemubual pemberita semasa menghadiri majlis Jalinan Mesra Kementerian Pendidikan hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (kiri). - Foto BERNAMA

Isu Pendidikan Islam: Jangan politikkan isu, ia hanya kaji selidik

PUTRAJAYA: Tidak timbul isu campur tangan orang bukan Islam dalam subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) kerana ia hanya kaji selidik oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dalam usaha menambah baik mata pelajaran berkenaan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pengumuman mengenai kaji selidik itu kemudian di muat naik di laman sosial Kementerian Pendidikan sebelum dikongsi oleh Timbalannya, Teo Nie Ching.

“Tidak timbul isu campur tangan atau beliau (Nie Ching) cuba mencampuri urusan pelajaran Pendidikan Islam, beliau hanya berkongsi pautan yang terdapat pada laman sosial kementerian.

“Ada juga isu tidak berpuas hati kenapa timbalan yang umum, bukan menteri. Beliau tidak membuat pengumuman tetapi hal itu diumumkan oleh Kementerian Pendidikan sendiri.

“Ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuat tangkapan skrin (screenshot) status di laman sosial Nie Ching dan mengatakan beliau mahu mencampuri urusan pendidikan Islam di sekolah, ia sama sekali tidak benar dan berita palsu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri kementeriannya di sini hari ini.

Maszlee berkata, kaji selidik itu dilakukan oleh MPPK dan bukannya di bawah arahan Nie Ching sekali gus ia tidak sepatutnya menjadi satu isu besar.

“Tidak timbul isu, ia jadi isu apabila ada pihak cuba mempolitikkan dan mengatakan ia adalah inisiatif timbalan saya tanpa melihat pautan yang dikongsi olehnya.

“Saya anggap ada pihak cuba mempolitikkan isu, kita di Malaysia perlu melangkaui politik kotor dan perlu ada sikap lebih ‘tabayyun’,” katanya.

Sebelum ini banyak pihak termasuk parti pembangkang mengecam Nie Ching kononnya beliau mencampuri urusan Pendidikan Islam dengan mewujudkan pasukan khas dan menje,mput semua pihak tanpa mengira kaum dan agama memberi pandangan secara dalam talian.

Bagaimanapun, pada 18 Jun lalu, Nie Ching menafikan beliau cuba mencampuri urusan mata pelajaran Pendidikan Islam di SK dan menyifatkan tuduhan dilemparkan kepadanya tidak berasas serta menjejaskan kredibiliti MPPK.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X