Sabtu, 22 Jun 2019 | 12:45pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media majlis perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Darah Negara, hari ini. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media majlis perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Darah Negara, hari ini. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Tiada penularan jangkitan campak di tiga negeri - Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR: Tiada penularan jangkitan demam campak membabitkan perkampungan orang Asli lain dilaporkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang, setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kes demam campak dilaporkan kekal 47 yang sudah disahkan melalui ujian makmal.

Beliau berkata, hingga semalam, sebanyak 48 kes masih dirawat di hospital akibat demam campak dan sesak nafas membabitkan 46 di wad biasa serta dua di unit rawatan rapi (ICU).

“Sejumlah 12 kes dengan gejala ringan demam campak ditempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) di Gua Musang, manakala 14 kes lagi ditempatkan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Gua Musang.

“Namun, tiga kes baharu dengan gejala saluran pernafasan dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang, dikesan Jabatan Kesihatan Kelantan. Dua kes terbabit dikesan pada Khamis dan satu lagi semalam.

“Dua daripada tiga pesakit berkenaan ditempatkan di Hospital Kuala Krai dan seorang di Hospital Gua Musang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan di Pusat Darah Negara (PDN), di sini, hari ini.

Selain itu, Dr Dzulkefly berkata, setakat semalam, tiada kes kematian baharu dilaporkan, menjadikannya kekal tiga kematian.

Beliau berkata, ketiga-tiga kes kematian itu disahkan demam campak melalui ujian makmal, manakala keputusan bedah siasat ke atas 12 mayat masih belum diketahui punca sebenar kematian.

“Pemeriksaan antropologi juga sedang dijalankan ke atas 12 mayat itu bagi menentukan jantina, umur, bangsa, ketinggian dan jangka masa kematian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, satu kes baharu disyaki demam campak dilaporkan dalam komuniti Orang Asli di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu, Terengganu, Khamis lalu, menjadikan jumlah 13 kes dengan lapan disahkan demam campak melalui ujian makmal.

“Tiada kes baharu dikesan di Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang, menjadikan bilangan kes hingga Khamis lalu sebanyak lapan kes dengan empat disahkan demam campak melalui ujian makmal.

“Kesemua kes dari dua kampung ini ada sejarah pergerakan dan kontak dengan komuniti dari Kuala Koh, Gua Musang,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan masih diteruskan Jabatan Kesihatan negeri dan aktiviti imunisasi campak dijalankan terhadap komuniti di kawasan terbabit dan lokasi berhampiran dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Tok Batin komuniti berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X