Sabtu, 22 Jun 2019 | 1:32pm
KETUA Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie (kanan)merasmikan program Jelajah BH Didik Tesco di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid (tengah) dan Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Farah Ezrin Mohd Rashidi. - Foto Salhani Ibrahim

Tesco Malaysia perluas usaha bantu calon SPM

KUALA LUMPUR: Tesco Malaysia mengambil inisiatif membantu persediaan calon untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui penganjuran program Jelajah BH Didik Tesco, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie, berkata melalui jalinan kerjasama memasuki tahun ketiga itu, pihaknya memperluas komitmen dengan membabitkan penyertaan pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki SPM.

Beliau berkata, sejak berkolaborasi pada 2017, pihaknya hanya menaja murid yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) membabitkan sekolah angkat Tesco di seluruh negara.

“Namun, tahun ini sedikit berbeza apabila kami turut menaja seramai 250 pelajar Tingkatan Lima dari sekolah menengah di sekitar Lembah Klang.

“Kami sedar bahawa SPM adalah peperiksaan paling penting dalam kehidupan rakyat di Malaysia. Sebagai peruncit yang menyediakan perkhidmatan lebih 16 tahun kepada rakyat di negara ini, kami sentiasa mencari peluang untuk membantu dan memberi kesan positif kepada komuniti tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah BH Didik Tesco di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid; Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Farah Ezrin Mohd Rashidi; Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong; dan Pengurus Besar Agensi & Korporat (Bahagian Pengiklanan) NSTP, Roche Chew.

Seramai 500 peserta mengikuti Klinik UPSR dan Seminar SPM dalam program dua hari itu.

Faber-Castell turut menyumbangkan 2,000 unit pen dan pensel untuk kegunaan 1,000 pelajar yang menyertai program Jelajah BH Didik Tesco di tiga lokasi, iaitu Kuala Lumpur, Perak serta Pulau Pinang.


KETUA Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie beramah mesra dengan peserta pada majlis perasmian program Jelajah BH Didik Tesco di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

Dalam pada itu, Ritchie berkata, pihaknya turut melahirkan penghargaan terhadap tenaga pengajar yang sentiasa memberi komitmen terbaik mencurah ilmu kepada semua peserta.

Beliau berkata, Tesco Malaysia berharap semua pelajar yang menyertai program itu memanfaatkan sebaiknya peluang untuk mendapatkan panduan dan teknik menjawab soalan dengan betul sebagai persiapan menghadapi peperiksaan kelak.

Sementara itu, Farah Ezrin berkata, Tesco menaja tiga lokasi seminar untuk calon UPSR dan kali pertama bagi calon SPM, tahun ini.

Katanya, ia membabitkan 750 murid Tahun Enam dan 250 pelajar Tingkatan Lima daripada lebih 30 sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata, peserta Jelajah BH Didik Tesco yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan SPM tahun ini, turut berpeluang menyertai Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) 2019 pada tahun depan.

“APC yang diperkenalkan sejak 2006 adalah salah satu inisiatif memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang yang melanggan atau menggunakan produk pendidikan NSTP, termasuk menyertai seminar pendidikan BH,” katanya.

INFO

Jelajah BH Didik Tesco

- Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu 30 sekolah, tahun ini, bawah program Sekolah Angkat Tesco - Pintar

- 750 murid Tahun Enam dan 250 pelajar Tingkatan Lima ditaja membabitkan tiga lokasi, iaitu Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang

- Kerjasama terjalin sejak 2017 dengan lebih 3,000 peserta menerima manfaat

Berita Harian X