Sabtu, 22 Jun 2019 | 3:13pm
PANGLIMA Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi beramah mesra bersama ahli keluarga Perajurit Muda yang hadir menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Siri 188/2018 di PUSASDA, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Jumlah bukan Melayu sertai tentera terlalu rendah

PORT DICKSON: Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 188/8 di Pusat Asas Latihan Tentera Darat (PUSASDA) di sini hari ini, menyaksikan hanya 40 individu bukan Melayu dalam kalangan 1,727 perajurit muda.

Sehubungan itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi mengalu-alukan penyertaan lebih ramai anak muda bukan Melayu ke dalam pasukan itu kerana jumlah mereka masih terlalu rendah.

Katanya, daripada keseluruhan perajurit muda yang menamatkan latihan hari ini, hanya 10 perajurit Cina dan 30 lagi berbangsa India.

“Saya amat mengalu-alukan penyertaan semua kerana tugas menjaga kedaulatan negara adalah tanggungjawab semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Sekali lagi saya tegaskan, Tentera Darat bukan untuk satu kaum sahaja, ia terbuka untuk semua,” tegasnya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Yang turut hadir, Timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami.

Sementara itu, Ahmad Hasbullah berkata, Tentera Darat memerlukan satu lagi divisyen bagi mencukupkan keanggotaan pasukan itu dalam usaha menjaga kedaulatan negara.

Ketika ini, katanya, terdapat lima divisyen Tentera Darat, iaitu tiga di Semenanjung dan masing-masing satu di Sabah dan Sarawak.

“Kita memerlukan enam divisyen. Memang kita ada kekurangan tetapi akan ditampung dari semasa ke semasa dan buat masa sekarang, kekurangan itu akan dibantu dengan kemajuan teknologi,” katanya.

Berita Harian X