Sabtu, 22 Jun 2019 | 5:08pm

Isu 1MDB: Jakel sudah kemuka dokumen bantu siasatan SPRM

KUALA LUMPUR: Jakel Trading & Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) menegaskan sudah mengemukakan semua dokumen sah bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ketika ini dalam proses mendapatkan semula wang berjumlah lebih RM270 juta, dipercayai dipindahkan dari akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada 41 responden.

Jakel dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya komited membantu siasatan SPRM seperti dilakukannya sebelum ini.

Katanya, Jakel juga menyatakan secara jelas bahawa sebarang transaksi antara pihaknya dan individu berkaitan dibuat menerusi proses perniagaan yang betul, disokong dengan dokumentasi kertas kerja yang sah.

“Jakel tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai wang yang disebut SPRM itu sebelum proses transaksi dilakukan.

“Kita tidak pernah terbabit dengan sebarang sindiket pengubahan wang haram dan pendirian itu akan kekal kini dan selamanya.

“Pada masa sama, Jakel komited menjalankan perniagaannya dengan tanggungjawab dan ingin menekankan tidak menguruskan operasi menggunakan wang daripada sumber tidak sah selain mengambil serius dakwaan pengubahan wang haram,” katanya.

Semalam, SPRM dilaporkan memfailkan permohonan lucut harta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Permohonan berkenaan dikemukakan kepada 40 penerima dan entiti lain yang dikaitkan dengan akaun bank peribadi Najib.

Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya, dilaporkan berkata permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu. Ia membabitkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB.

Selain Jakel, responden itu turut membabitkan individu dan entiti lain yang didakwa oleh SPRM menerima dana dari 1MDB ialah Parti Rakyat Bersatu Sabah, MCA, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Liberal Demokratik (LDP), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) serta Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels).

Mengulas lanjut, Jakel, berkata urus niaga antara pihaknya dan Najib menerusi Pejabat Perdana Menteri (PMO) membabitkan pembelian jubah untuk tujuan amal.

“Jubah itu dibeli untuk tujuan amal yang disumbangkan kepada 7,000 masjid seluruh negara selain bekalan pakaian untuk mangsa banjir antara 2011 hingga 2014.

“Ketika itu Jakel tidak mengetahui sebarang isu membabitkan 1MDB. Jakel menyerahkan jubah itu selepas menerima bayaran.

“Kita menerima bayaran itu dengan hati terbuka tanpa sebarang prasangka, Jakel tidak berada dalam kedudukan yang wajar untuk mempersoalkan sumber dana terbabit kecuali terdapat bukti jelas mengenai duit itu (diperoleh secara tidak sah),” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X