Sabtu, 22 Jun 2019 | 5:18pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Zunnur Al Shafiq

Cadangan cuti paterniti: Kerajaan akan bincang dengan semua pihak berkaitan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan siri perbincangan dengan semua pihak berkaitan, termasuk majikan, bagi mendapatkan kata sepakat berhubung cadangan memperkenalkan cuti paterniti kepada pekerja sektor swasta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengaku walaupun wujud bantahan daripada majikan, perbincangan adalah jalan terbaik sebelum suatu keputusan dibuat.

“Memanglah ada kekangan dalam kalangan majikan. Dari segi cuti ini (paterniti), memang baik kalau dapat sebab kita akan datang sudah menjadi negara tua.

“Kita menggalakkan ramai dapatkan (melahirkan) anak. Jadi cuti ini boleh dipertimbangkan tetapi kita belum bincang secara terperinci (dengan semua pihak berkaitan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri di Muzium Diraja, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan, dipetik sebagai berkata pemberian cuti wajib selama tiga hari kerana isteri bersalin itu akan memberi kesan terhadap kos operasi syarikat.

Ia susulan kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, yang dilaporkan sebagai berkata draf pindaan Akta Kerja 1955 sedang disiap dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tujuan memperkenalkan cuti paterniti.

Draf itu kemudian akan dibentangkan di Parlimen selepas perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan akan membuat rayuan kepada pihak swasta memandangkan cadangan sedemikian baik, terutama terhadap institusi kekeluargaan.

Mengulas mengenai cadangan Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang meminta kerajaan melihat semula keperluan jabatan kerajaan mengadakan jamuan Aidilfitri pada waktu pejabat pula, beliau berkata, ia tidak menjejaskan operasi kerajaan.

“Kita ada mereka yang jaga kaunter secara bergilir-gilir. Kita hendak juga merayakan sebab mereka juga kakitangan kita. Ia menjimatkan masa dan wang, jadi kita buat begitu,” katanya.

Diminta mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan melucut hak terhadap 41 responden bagi mendapatkan semula wang dikaitkan dengan dana diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau berkata, kerajaan tidak campur tangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk mengendalikan kes itu.

Berita Harian X