Ahad, 23 Jun 2019 | 11:30am
Keratan akhbar BH Ahad hari ini.
Keratan akhbar BH Ahad hari ini.
Keadaan penempatan sekitar Bukit Malut. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Keadaan penempatan sekitar Bukit Malut. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Misteri Bukit Malut

LANGKAWI: Kesesakan kediaman penduduk yang memenuhi pinggir pantai Bukit Malut di sini, membuatkan ia umpama penempatan haram di Sao Paulo, Brazil atau setinggan di Mexico City, Mexico.

Tinjauan menggunakan dron, mendapati ia semakin berkembang umpama perkampungan atas air yang banyak dibina warga asing hingga mencetuskan pelbagai masalah di Sabah.

Hakikatnya, ia adalah penempatan haram yang dibina penghuninya secara menceroboh tanah rizab hutan paya bakau Bukit Malut, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Kuah.

Tinjauan dari pemandangan udara menggunakan dron, kelihatan penempatan asing di kawasan pesisir laut yang juga rezab hutan paya bakau, Bukit Malut yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Kuah. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Tinjauan dari pemandangan udara menggunakan dron, kelihatan penempatan asing di kawasan pesisir laut yang juga rezab hutan paya bakau, Bukit Malut yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Kuah. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Namun, kawasan terbabit bagaikan kebal kepada sebarang tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa, hingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk pulau peranginan ini.

Penempatan yang merangkumi beberapa kampung kecil itu dianggap lokasi paling hitam di pulau peranginan ini, berikutan laporan kes jenayah serta berkaitan dadah yang kerap berlaku.

8,000 huni kawasan

Ketika ini, dianggarkan ada lebih 800 kediaman dibina di kawasan itu dengan jumlah penghuninya dianggarkan di antara 5,000 hingga 8,000 orang menetap secara kekal.

Difahamkan, penempatan ini mula dibuka sejak awal 80-an oleh pelarian Myanmar, yang membina rumah di kawasan pesisir laut sebelum ia terus berkembang sehingga ke kawasan berbukit.

Bagi penduduk asal Langkawi, Bukit Malut dianggap sebagai misteri kerana penghuninya kurang bercampur dengan orang tempatan, walaupun kebanyakan mereka mulai terbabit dalam kegiatan ekonomi setempat termasuk memiliki perniagaan sendiri.

Hampir separuh penghuni penempatan yang mendakwa berketurunan Melayu Myanmar di situ, dikatakan memiliki dokumen pengenalan diri, MyKad, membolehkan mereka menjadi pengundi berdaftar.

Jumlah yang ramai membuatkan mereka dikatakan mempunyai pengaruh kuat hingga menyebabkan penempatan di situ, dilindungi pihak tertentu.

Ketika meninjau penempatan itu baru-baru ini, kehadiran wartawan dan jurugambar BH ‘disambut’ penuh kecurigaan, apabila sekumpulan remaja bertempiaran lari, sebaik melihat kenderaan tidak dikenali memasuki penempatan itu.

Majoriti kediaman penduduk di situ, dibina di atas kawasan paya bakau dengan titian papan dibina menghubungkan di antara rumah di situ hingga ke jalan utama kampung.

Persekitaran kotor, busuk

Tinjauan mendapati, banyak tiang bagi pembinaan rumah baharu sudah siap dipasang di kawasan yang masih mempunyai ruang untuk menempatkan binaan di situ yang kebanyakannya dibuat daripada papan.

Keadaan penempatan berselerak dan kemudahan asas yang lengkap, membuatkan longgokan sampah sarap dibiarkan bertimbun di keliling rumah mengakibatkan bau tidak menyenangkan.

Keadaan persekitaran kawasan penempatan Bukit Malut yang kotor dan dipenuhi sampah ketika tinjauan. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Keadaan persekitaran kawasan penempatan Bukit Malut yang kotor dan dipenuhi sampah ketika tinjauan. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Isu timbunan sampah sekitar Bukit Malut pernah dibangkitkan awal tahun ini, sehingga Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah terpaksa mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan berkenaan bersama penduduk.

Bagaimanapun, keadaan tidak banyak berubah apabila longgokan sampah masih dapat dilihat terutamanya ketika air surut dengan sisa beg plastik, kertas, kayu perabot dan besi karat terdampar di tanah berselut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Zuhair Jamaluddin, ketika dihubungi BH, mengakui pihaknya tidak mempunyai kuasa ke atas penduduk Bukit Malut, sebaliknya ia di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini kerana ramai dalam kalangan penduduk kawasan itu memegang kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Saya tidak boleh komen lanjut isu ini kerana bukan bidang kuasa JIM, cuma untuk makluman mereka tidak ada kena mengena dengan etnik Rohingya,” katanya.

Berita Harian X