Ahad, 23 Jun 2019 | 3:22pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hadir pada Majlis Penyerahan Jentera Bomba, Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama, di Sungai Buloh, hari ini. - Foto Wan Jailani Razak

Cuti paterniti: MEF diminta pertimbang semula, teliti cadangan

SUNGAI BULOH: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) diminta mempertimbangkan semula dan meneliti cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti kepada pekerja sektor swasta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata walaupun ada majikan melihat peruntukan cuti paterniti selama tiga hari itu hanya merugikan, mereka perlu mempertimbangkan kesan jika berlaku kemalangan, kecederaan, depresi, gangguan emosi dan lain-lain perkara yang secara tidak langsung boleh menjejaskan kepentingan syarikat itu sendiri.

“Cuti paterniti bukan soal kesihatan dalam tempoh terdekat, sebaliknya membabitkan kesihatan untuk jangka panjang.

“Justeru, saya minta dipertimbangkan sewajarnya kerana dalam aset sumber manusia, majikan perlu mementingkan kesihatan pekerja agar mereka sentiasa produktif bukan sahaja fizikal tetapi juga dari segi emosi.

“Oleh itu, saya selalu menekankan persoalan kesihatan mental dan jiwa kerana ia sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jentera Bomba, Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama, di sini, hari ini.

Sebelum ini, MEF dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan, dipetik sebagai berkata pemberian cuti wajib selama tiga hari kerana isteri bersalin itu akan memberi kesan terhadap kos operasi syarikat.

Ia susulan kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, yang dilaporkan sebagai berkata draf pindaan Akta Kerja 1955 sedang disiap dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tujuan memperkenalkan cuti paterniti.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan akan meneruskan siri perbincangan dengan semua pihak berkaitan, termasuk majikan, bagi mendapatkan kata sepakat berhubung cadangan itu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, perkara itu belum dibincangkan dalam Kabinet, namun beliau boleh membawa isu berkenaan kepada pengetahuan ahli mesyuarat Jemaah Menteri.

Katanya, beliau akan menyokong sebarang langkah membawa kebaikan kepada kesihatan rakyat, terutama warga kerja yang menyumbang produktiviti negara.

Berita Harian X