Ahad, 23 Jun 2019 | 4:22pm

Ini adalah palsu! - Latheefa

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menafikan jemaah haji yang ditaja 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diarah memulangkan tajaan mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, membuat penafian itu di Twitter beliau dengan tulisan ringkas ‘Ini adalah palsu!’ manakala gambar tangkap layar (screen shot) terbabit ditampal dengan perkataan huruf besar, ‘PALSU’

Penafian itu disiarkan pada jam 9.44 pagi dan sehingga jam 2.50 petang, ia menerima 501 retweet dan 653 Likes dengan 61 komen.

Penyebaran ‘screen shot’ palsu itu dipercayai dilakukan pihak yang cuba memburukkan kepemimpinan Latheefa yang baru dilantik sebagai pemimpin nombor satu agensi membanteras rasuah terbabit.

Ia susulan Latheefa mengumumkan SPRM memfailkan permohonan lucut harta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Permohonan berkenaan dikemukakan kepada 40 penerima dan entiti lain yang dikaitkan dengan akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu, membabitkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB, terhadap responden membabitkan individu dan entiti yang didakwa oleh SPRM menerima dana berkenaan.

Antaranya ialah Jakel Trading & Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel), Parti Rakyat Bersatu Sabah, MCA, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Liberal Demokratik (LDP), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) serta Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels).

Sementara itu, Jakel, dalam satu kenyataan semalam berkata urus niaga antara pihaknya dan Najib menerusi Pejabat Perdana Menteri (PMO) membabitkan pembelian jubah untuk tujuan amal.

“Jubah itu dibeli untuk tujuan amal, yang disumbangkan kepada 7,000 masjid seluruh negara selain bekalan pakaian untuk mangsa banjir antara 2011 hingga 2014.

“Ketika itu Jakel tidak mengetahui sebarang isu membabitkan 1MDB. Jakel menyerahkan jubah itu selepas menerima bayaran.

“Kita menerima bayaran itu dengan hati terbuka tanpa sebarang prasangka, Jakel tidak berada dalam kedudukan yang wajar untuk mempersoalkan sumber dana terbabit kecuali terdapat bukti jelas mengenai duit itu (diperoleh secara tidak sah),” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X